STESEN radio popular Suria FM kembali dengan siri Jelajah Suria edisi 2023 buat kali keempat penganjuran. Untuk tahun ini, siri jelajah menyasarkan pendengar dan peminat bertemakan sentuhan ‘80-an, 90-an dan terkini’.
Pengurus Besar Suria, Roslinda Abdul Majid atau mesra disapa DJ Lin berkata, siri jelajah tersebut diadakan di empat lokasi berbeza bermula Sabtu lalu.
Membuka tirai dengan lokasi pertama di Paradigm Mall, Johor Bahru (11 Februari), Jelajah Suria Anggun Cotton Collection diteruskan dengan zon utara di Aman Central Alor Setar, Kedah (19 Februari).
Manakala, lokasi ketiga di Kuantan City Mall, Kuantan, Pahang (25 Februari) dan terakhir di IOI Mall Putrajaya (27 Ogos).
“Siri Jelajah Suria adalah sebuah acara tahunan yang paling dinantikan peminat dan pendengar Suria FM.
“Justeru, pada jelajah kami ini, kami bersama Anggun Cotton Collection selaku penaja utama serta AC Gas selaku penaja bersama berusaha memberikan kelainan buat para pendengar dengan mengetengahkan elemen 1980-an, 1990-an dan terkini bertujuan meluaskan sasaran pendengar Suria FM ke semua lapisan umur,” katanya.
Pada masa sama, pelbagai tarikan menarik turut ditawarkan sepanjang jelajah, termasuk pelbagai hadiah untuk dimenangi pengunjung.
“Banyak tarikan menarik menanti pengunjung antaranya, sesi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah istimewa seperti empat buah motosikal jenis Modenas MR3 bernilai lebih RM4,000 setiap satu.
“Wang tunai lebih RM10,000 turut menanti pengunjung bertuah menerusi pelbagai aktiviti pentas yang akan bermula seawal pukul 12 tengah hari hingga 6 petang,” kata DJ Lin pada sidang akhbar Jelajah Suria Anggun Cotton Collection bersama beberapa barisan artis yang terlibat di ibu negara baru-baru ini.
Himpunan 40 selebriti
Suria FM berharap siri jelajah kali ini akan mendapat sambutan hangat daripada semua pihak dan orang ramai dijemput hadir memeriahkan acara.Sepanjang siri jelajah juga, lebih 40 artis terkenal dijangka berhimpun menghangatkan suasana.
Sementara itu, penyanyi muda berbakat besar, Bunga yang popular dengan lagu Buai mengakui, tidak sabar untuk beraksi bersama barisan artis lain dalam siri jelajah yang disertainya.
“Ini merupakan kali pertama saya bakal menghiburkan peminat dan pendengar pada siri jelajah Suria FM.
“Buat semua pendengar Suria FM dan peminat, datanglah beramai-ramai memeriahkan acara yang akan berlangsung di lokasi anda nanti,” katanya.
Antara barisan artis yang akan memeriahkan siri jelajah Suria FM termasuklah Shidee, Raja Ema, Bunga, Insomniacks, Akim & The Majistret, Luqman Podolski, Zamani Slam, Nabila Razali, Siti Nordiana, Alyph, Sissy Iman dan Ally Axl.
Turut serta ialah kumpulan Exist, Khai Bahar, Datuk Aishah, Ruffedge, Kristal X, Zulhadi, Aris Ariwatan, Alif Satar & The Locos, Meer Nash, Ernie Zakri, Syamel, Ramlah Ram, Newboyz, Misha Omar, Haqiem Rusli dan ramai lagi.