PETALING JAYA – Hujan lebat dilaporkan melanda beberapa kawasan pagi ini melibatkan Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam laporannya berkata, ia juga turut membabitkan beberapa tempat di Sabah dan Sarawak.
“Bagi Perak, hujan diramalkan tertumpu di kawasan pantai manakala baki negeri terlibat dijangka alami cuaca buruk di satu dua tempat.
“Selain itu, di Sabah, cuaca buruk dijangka tertumpu di Sandakan sementara di Sarawak melibatkan Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang,” katanya hari ini.
Terdahulu, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan kategori waspada melibatkan Sarawak berkuat kuasa mulai 12 hingga 15 Februari ini.
Dalam pada itu, ribut petir dan hujan lebat turut diramal berlaku di pedalaman dan barat Semenanjung pada sebelah petang dan malam sehingga 13 Februari. – KOSMO! ONLINE