PORT DICKSON – Hari Tentera Darat Ke-90 yang disambut tahun ini akan menjadi simbolik kepada perjuangan pejuang tanah air tersohor, Allahyarham Leftenan Adnan Saidi.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain menjelaskan, sambutan ke-90 pada tahun ini merupakan simbolik kepada nombor tentera atau nombor badan Leftenan Adnan yang merupakan tentera dari Rejimen Askar Melayu yang telah mempertahankan tanah air semasa Perang Dunia Kedua.
“Tentera Darat telah menginjak ke usia 90 tahun pada tahun ini dan Hari Tentera Darat merupakan acara tradisi yang dianjurkan dengan matlamat mengukuhkan kesatuan warga Tentera Darat dengan masyarakat.
“Sambutan pada kali ini juga lebih bermakna kerana simbolik nombor 90 yang juga merupakan nombor tentera atau disebut juga nombor badan seorang pejuang tanah air yang tersohor iaitu Leftenan Adnan Saidi.
“Selain itu, ia juga bertujuan mengenang kembali segala pengorbanan warga Tentera Darat terdahulu yang telah berjuang demi mengekalkan kedaulatan tanah air,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Tentera Darat ke- 90 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini hari ini.
Jelasnya lagi, sambutan Hari Tentera Darat Ke-90 tahun ini masih mengekalkan tema Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin dan ia akan berlangsung pada 1 Mac ini di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.
“Pada 1 Mac ini sambutan akan memfokuskan kepada perbarisan, tahun lepas konsep perbarisan tempur dan demonstrasi atur gerak. Pada tahun ini ia akan disambut secara Rejimental dengan berpakaian istiadat dengan mengibarkan panji-panji sedia ada,” katanya lagi.
Zamrose berkata, antara acara utama yang dirancang sempena sambutan tahun ini adalah Perbarisan Hari Tentera Darat ke-90, Persembahan TATU Tentera Darat dan Karnival Terbuka Tentera Darat. – KOSMO! ONLINE