LONDON – Pengurus Arsenal, Mike Arteta nyata tidak berpuas hati dengan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang membenarkan gol jaringan penyerang Brentford, Ivan Toney disahkan ketika mereka terikat 1-1 pada perlawanan di Emirates itu kelmarin.
Arsenal cuba mempamerkan kebangkitan selepas mereka tewas menentang Everton minggu lalu dan jaringan Leandro Trossard hampir menyaksikan The Gunners kembali selesa untuk menguasai puncak Liga Perdana Inggeris.
Bagaimanapun, Toney meleburkan harapan tersebut apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-74 untuk Arsenal terpaksa berpuas hati untuk mengutip satu mata menerusi perlawanan berkenaan.
Gol penyamaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati Arteta yang mendakwa VAR gagal membuat keputusan yang tepat apabila mengesahkan jaringan tersebut kerana pemain Brentford berada pada kedudukan ofsaid.
“Kami mengikut apa yang telah ditaklimatkan oleh pengadil perlawanan pada setiap minggu sebelum perlawanan. Situasi gol Brentford itu menyaksikan pemain mereka berada di kedudukan ofsaid sebelum gol itu terhasil lagi,” katanya.
Kegagalan meraih kemenangan pada perlawanan itu menyebabkan Arteta tidak dapat membendung kemarahannya apabila cuba mencetuskan konfrontasi terhadap pengadil, Peter Bankes selepas perlawanan berakhir.
Dalam pada itu, Arteta mengakui bahawa para pemainnya telah menampilkan aksi cukup baik dengan mematahkan banyak serangan Brentford dan berjaya mendominasi perlawanan, namun mereka gagal menyudahkan beberapa peluang terbaik.
“Saya fikir kami telah mendominasi perlawanan. Kami meningkatkan intensiti dan beberapa kali berjaya mendapat peluang terbaik serta menjaringkan gol.
“Bagaimanapun, saya berasa sedikit kecewa apabila kami tidak memberikan sepenuh fokus untuk menghalang mereka melakukan serangan dan menerusi set-piece menyebabkan kami beberapa kali berdepan keadaan kucar-kacir,” katanya. – AGENSI