fbpx

Elak cinta lokasi, perlu profesional – Seniman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZED ZAIDI

KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengingatkan pelakon supaya bersikap profesional dengan mengelakkan diri daripada terbabit dalam konflik cinta lokasi di set penggambaran yang berpotensi mencetuskan kontroversi.

Presidennya Zed Zaidi berkata, apabila timbul isu hubungan cinta lokasi antara anak seni berstatus suami atau isteri orang, situasi berkenaan boleh membuatkan orang luar memberi gambaran negatif terhadap imej pekerja filem atau drama.

“Isu sebegini menunjukkan tahap profesionalisme seorang pekerja seni terhadap kerjayanya sama ada dia fokus dengan tanggungjawab atau sebaliknya.

“Cuma jangan jadikan ‘method’ atau kononnya penghayatan watak sebagai alasan untuk lebih intim kerana perkara tak diingini boleh tercetus andai pelakon itu sendiri terbawa-bawa perasaan.

“Set penggambaran tempat kita cari makan, jadi elakkan terperangkap dalam mainan perasaan, lebih-lebih lagi apabila sudah berkeluarga,” katanya pada majlis pembukaan cawangan agensi KamiSempoi, baru-baru ini.

Katanya, Seniman juga tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan terhadap cadangan supaya mana-mana pelakon yang terbabit dalam kontroversi hubungan cinta di set penggambaran dikenakan tindakan ‘gam’.

Menurutnya lagi, sebarang tindakan hanya dapat diambil mengikut garis panduan yang sepatutnya andai membabitkan kes jenayah dan kesalahan tersebut sudah dibuktikan di mahkamah.

“Seniman tiada hak desak stesen televisyen atau mana-mana pihak kecuali membabitkan kes jenayah yang sudah disabitkan hukuman,” ulasnya lagi.

Begitupun, pemilik nama sebenar Rozaidi Abdul Kamil, 43, itu secara peribadi berharap isu rumah tangga dapat diselesaikan dengan berkomunikasi bagi mengelakkan tercetusnya masalah lain di tempat kerja iaitu lokasi penggambaran.

“Apabila ada kepincangan dalam ikatan perkahwinan, selebriti terbabit kena menyelesaikan hal mereka dahulu, selain memahami cara untuk memberi reaksi kepada media jika ditanya.

“Biasanya apabila seseorang artis itu kurang arif mengenai komunikasi, mereka cenderung memberi reaksi menggunakan emosi seterusnya menjentik perkara dalaman menjadi tontonan umum,” katanya.

Justeru, Seniman merancang untuk mengadakan program mengasah kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pelakon menerusi kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI