JASIN – Dua wanita yang juga rakan sekerja maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) di Kampung Sri Mawar, Serkam, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Komander Operasi dari Balai Bomba Bukit Katil, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Hamdan Sudin berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 7.45 pagi tadi dan sepasukan lapan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, kita dapati telah berlaku kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan dan dua mangsa di dalam sebuah kereta jenis Nissan Almera telah meninggal dunia.
“Pasukan keluaran operasi (PKO) membantu mengeluarkan mangsa yang maut dan diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Tambahnya, difahamkan kedua-dua mangsa merupakan rakan sekerja di sebuah kilang di Batu Berendam.
Mengulas lanjut beliau berkata, dua kenderaan lain yang terlibat adalah Toyota Altis dan sebuah motosikal Yamaha Y15.
“Pemandu kereta Altis terselamat, namun tersepit di tempat pemandu, manakala penunggang motosikal turut cedera dan kedua-dua mereka diberikan rawatan awal oleh pasukan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS),” katanya. – KOSMO! ONLINE