DUNIA perubatan dan dunia marin walaupun dua perkara berbeza, namun kedua-duanya memerlukan minat yang mendalam untuk diceburi.
Sebagaimana hidupan di daratan yang dilanda masalah kesihatan, dunia marin juga dilanda malapetaka tertentu misalnya akibat tangan-tangan manusia yang menggunakan pukat larangan lantas menyebabkan terumbu karang mengalami kerosakan.
Kedua-dua perkara tersebut seolah-olah telah ditakdirkan menjadi kecintaan seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) Management and Science University (MSU), Nor Atika Abdul Razak, 27, sejak beberapa tahun lalu.
Menurut Nor Atika, minat kepada pemuliharaan batu karang mula timbul setelah dia melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan empat tahun lalu.
“Saya mula meminati dunia marin apabila program pemulihan batu karang, My Coral menjadi sebahagian program soft skill anjuran MSU,” kongsinya kepada K2 baru-baru ini.
Nor Atika yang berasal dari Batu Gajah Perak berkata, berada di laut untuk aktiviti My Coral bukan saja memberi ketenangan kepada dirinya, malah rasa bangga kerana dapat berbakti kepada alam sekitar.
Katanya lagi, jika bukan generasi muda terlibat dengan program sedemikian siapa lagi yang boleh diharapkan.
“Projek Eko Marin My Coral diadakan di Pulau Gelok, Terengganu yang mana bertujuan menjaga keseimbangan biodiversiti alam sekitar.
“Objektif utama program ini adalah untuk menggalakkan pemulihan terumbu karang,” tambahnya.
Nor Atika berkata, antara aktiviti utama program itu adalah memasang terumbu tiruan di dasar laut bagi menggalakkan pembiakan karang.
Katanya lagi, selain itu terdapat juga aktiviti lain seperti menanam pokok bakau, pemuliharaan penyu dan khidmat masyarakat dalam aspek pemeriksaan kesihatan.
Selain ‘merawat’ alam sekitar, Nor Atika yang juga bakal doktor berharap untuk masa akan datang dia dan rakan-rakan dapat berkhidmat kepada komuniti masyarakat.
“Semoga kami juga sentiasa kuat semangat dalam mengharungi pahit manis bergelar seorang perawat serta mendapat peluang yang saksama semasa di alam pekerjaan kelak.
“Pandemik Covid-19 dan lain-lain penyakit memerlukan generasi muda untuk menyambung legasi sebagai doktor atau perawat, maka kami perlu tabah,” kata Nor Atika.
Jelasnya yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik, walaupun perjalanan masih berliku, dia sudah bersedia dengan cabaran yang menanti dalam dunia kerjaya tersebut.
Segala isu yang melibatkan dunia perubatan jelasnya, perlu dihadapi dengan jiwa kental kerana ia sudah menjadi bidang yang dicintainya.
“Kita sebagai manusia perlu membuat pilihan setiap hari. Begitu juga saya telah memilih untuk menceburi bidang perubatan, maka saya perlu bersaing dengan doktor di luar sana.
“Bidang perubatan melibatkan pelbagai disiplin dan kepakaran. Mungkin saya juga akan memilih kepakaran yang saya minati kelak,” ujarnya.
Gadis yang meminati masakan lauk kampung, makanan Korea dan kopi ais Macchiato berharap dapat membalas jasa bapa, Abdul Razak Ismail, 65, dan ibu, Zainab Mohamad, 60, setelah tamat belajar tidak lama lagi.
Sebagai seorang rakyat Malaysia, Nor Atika berharap ekonomi negara terus makmur dan semua orang boleh mencari rezeki.
“Keluarga saya adalah peniaga dan saya amat berharap ekonomi negara berada pada landasan yang kukuh supaya bidang perniagaan terus stabil.
“Kenaikan kos hidup dan faedah pinjaman misalnya menyebabkan kenaikan kos dalam bidang lain seperti perniagaan makanan dan perkhidmatan. Saya berharap pihak kerajaan dapat membantu rakyat mengurangkan beban kewangan,” katanya.
Mengulas mengenai masalah gangguan psikologi, Nor Atika berkata, sokongan orang sekeliling penting untuk mengelakkan masalah mental terus menular.
Sebagai siswi bidang perubatan, dia turut terlibat dengan rawatan pesakit yang mempunyai masalah psikologi di hospital tertentu.
“Semua yang terlibat dengan penyakit berkait gangguan emosi perlu diberi perhatian dan pemantauan.
“Sokongan keluarga mampu memberi kekuatan dalaman untuk pesakit kembali normal. Kita bimbang mereka cenderung melakukan perkara yang membahayakan nyawa sendiri jika tidak dirawat lebih awal,” katanya.
Pesanan bakal doktor itu lagi, setiap kejayaan itu tidak akan datang dengan mudah seperti yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang.
Ini kerana, semua kejayaan memerlukan pengorbanan dan dia kini dalam fasa mengorbankan masa serta tenaga demi merealisasikannya.