fbpx

Angka korban gempa bumi Turkiye, Syria diramal cecah 50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA penyelamat menarik keluar jasad mangsa yang terperangkap di bawah sisa runtuhan bangunan di Jindayris, wilayah Aleppo, Syria, pada 10 Februari lalu. - AFP

ANKARA – Angka kematian akibat gempa bumi kuat yang melanda Turkiye dan Syria berkemungkinan meningkat melebihi 50,000, dua kali ganda berbanding angka setakat petang semalam iaitu 28,000, demikian menurut Ketua Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths.

Griffiths tiba di bandar selatan Turkiye, Kahramanmaras, kelmarin, yang menjadi lokasi pusat gempa bagi gegaran pertama yang berukuran 7.8 pada skala Richter, pada Isnin minggu lalu.

“Saya berpendapat agak sukar untuk menganggarkan secara tepat (angka kematian) kerana sekiranya (anggota penyelamat) masuk ke bawah-bawah runtuhan, pasti bilangannya berganda atau lebih.

“Kami masih belum benar-benar memulakan pengiraan angka kematian,” kata Griffiths dalam temu bual bersama stesen penyiaran Sky News.

PBB memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 870,000 orang kini memerlukan bantuan makanan segar di seluruh Turkiye dan Syria. Di Syria sahaja, 5.3 juta orang dijangka telah kehilangan tempat tinggal.

Selain itu, hampir 26 juta orang terjejas dengan gempa bumi tersebut, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut melancarkan tabung derma kilat berjumlah AS$42.8 juta (RM185 juta) kelmarin bagi memenuhi keperluan kesihatan.

Agensi bencana Turkiye pula berkata, lebih 32,000 orang dari organisasi negara itu kini bekerja keras dalam operasi mencari dan menyelamat di samping 8,294 penyelamat antarabangsa.

“Tidak lama lagi, anggota penyelamat akan memberi laluan kepada agensi-agensi kemanusiaan yang mana tugas mereka adalah untuk menguruskan angka luar biasa mangsa yang terjejas dalam beberapa bulan akan datang,” kata Griffiths.

Puluhan ribu anggota penyelamat menjelajah ke segenap kawasan kejiranan yang menjadi rata ketika cuaca sejuk menambah kesengsaraan berjuta-juta mangsa yang kini terdesak memerlukan bantuan.

Beberapa keajaiban turut berlaku melibatkan mangsa-mangsa yang terselamat yang ditemui di sebalik sisa runtuhan dan kemusnahan.

“Adakah dunia masih wujud di luar sana?” soal seorang mangsa berusia 70 tahun, Menekse Tabak, ketika dia ditarik keluar dari runtuhan konkrit di Kahramanmaras.

Seorang bayi berusia tujuh bulan, Hamza, turut diselamatkan di Hatay lebih 140 jam selepas gempa berlaku, selain Esma Sultan, 13, turut ditemui masih bernyawa di Gaziantep.

Restoran-restoran di Gaziantep turut sibuk dengan puluhan ribu sukarelawan yang membantu menyediakan makanan kepada semua mangsa.

Dalam pada itu, bantuan dilaporkan tiba agak perlahan di Syria di mana konflik bertahun-tahun telah memusnahkan sistem penjagaan kesihatan selain sebahagian negara itu kekal di bawah kawalan kumpulan pemberontak.

Menurut Damsyik, ia telah meluluskan ketibaan bantuan kemanusiaan di kawasan-kawasan terjejas di luar kawalannya di wilayah Idlib dan sebuah konvoi dijangka sepatutnya bertolak semalam.

Namun, penghantaran bantuan itu ditunda tanpa sebarang penjelasan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI