TUMPAT – Majlis Daerah Tumpat (MDT) menurunkan sebanyak 197 poster pinjaman wang tanpa lesen atau ah long yang dipasang pada tiang elektrik dalam operasi yang dijalankan selama tiga jam di sekitar daerah ini semalam.
Setiausaha MDT, Mohd. Khairil Hazmie Yusof berkata, operasi bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari itu dijalankan di sekitar bandar Tumpat, Jalan Geting, Chabang Empat, Jalan Pengkalan Kubor dan beberapa lokasi lain di daerah tersebut.
Katanya, operasi itu turut mendapat kerjasama anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.
“Kesemua poster itu didapati digantung pada tiang elektrik dan papan tanda jalan untuk menarik perhatian orang ramai.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan pinjaman yang ditawarkan melalui poster yang ditampal di tepi jalan atau menerusi aplikasi media sosial,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohd. Khairil Hazmie memberitahu, pihaknya telah menurunkan dan merampas sebanyak 2,650 poster berkenaan di seluruh daerah itu sepanjang tahun lalu.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan pinjaman wang tanpa lesen supaya menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
“Polis boleh mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang tersebut kepada orang ramai.
“Operasi menurunkan poster ah long akan dilakukan sepanjang masa dengan kerjasama polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE