LUMUT – Sejak kira-kira lima tahun lalu, Lau Choon Hu, 64, tinggal di sebuah rumah papan yang usang dan hampir roboh bersama dua anaknya Orang Kelainan Upaya (OKU) di Pekan Gurney, Sitiawan dekat sini.
Rumah beratap zink itu juga bocor di sana sini menyebabkan tiga beranak itu sering kebasahan manakala ruang dalamnya sering mengalami masalah air bertakung setiap kali hujan lebat.
Berikutan itu, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, menggunakan peruntukan disediakan kerajaan untuk kawasan parlimennya bagi membina rumah baharu untuk keluarga tersebut di tapak asal.
Projek pembinaan rumah setingkat tiga bilik bernilai RM70,000 itu bermula pada 21 Disember 2022 dan telah siap minggu lalu.
Dalam pada itu, Choon Hu yang sudah berhenti kerja sebagai tukang bina kubur Cina, sejak setahun lalu akibat uzur mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Koo Ham di atas keprihatinan membina rumah baharu untuk mereka sekeluarga.
“Sebelum ini setiap kali hujan lebat, rumah pusaka yang diwarisi daripada moyang saya ini selalu banjir dan kami mesti basah sebab bumbung ada banyak lubang,” katanya ketika ditemui selepas menerima rumah tersebut secara rasmi, di sini semalam.
Kini, beliau bersama dua anaknya yang juga tidak bekerja hanya mengharapkan bantuan kewangan daripada seorang lagi anaknya yang kini bekerja di ibu negara, selain masih menunggu kelulusan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sudah dipohon sebelum ini. – KOSMO! ONLINE