SHAH ALAM – Pencemaran bau seakan diesel yang menyebabkan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) malam tadi dikenalpasti disebabkan tumpahan minyak dari aktiviti jentera berat.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, penemuan itu hasil semakan awal di keseluruhan lembangan Sungai Selangor selepas pencemaran bau yang dikesan di muka sauk LRA Rantau Panjang kira-kira pukul 9.45 malam.
Katanya, penutupan sementara muka sauk melibatkan LRA Rantau Panjang dan tiga LRA Sungai Selangor bagi Fasa 1,2 dan 3 (LRA SSP1, SSP2 serta SSP3).
“Hasil semakan awal di keseluruhan lembangan Sungai Selangor, permasalahan pencemaran bau tersebut dikenal pasti berkaitan bau tumpahan minyak dari aktiviti jentera berat (diesel),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut LUAS, sumber air mentah ke muka sauk LRA Rantau Panjang berjaya disalurkan semula pada pukul 1.30 pagi tadi dan bagi tiga fasa LRA Sungai Selangor pada pukul 2.15 pagi setelah bacaan 0 ton direkodkan sebanyak 3 kali berturut.
“Insiden ini berjaya dikawal segera dengan penyaluran air mentah daripada HORAS 600 dan kolam alternatif KL Larut yang meningkatkan pencairan sungai serta aliran tercemar melepasi kawasan muka sauk dengan cepat,” katanya.
Ujarnya, bekalan air terawat yang bersih dan selamat sudah mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna bermula pukul 6.30 pagi. – KOSMO!ONLINE