ROMPIN – Tiga wanita termasuk dua beradik maut selepas kereta jenis Perodua MyVi yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 27 Jalan Ibam-Rompin, di sini malam semalam.
Mangsa yang maut ialah pemandu kereta, Suhada Ramli, 22, dan kakaknya yang berada di tempat duduk penumpang hadapan Nazira Ramli ,23 serta seorang penumpang belakang, Nurul Natasha Ahmad Akbal, 22.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azahari Mukhtar berkata, kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah ke Rompin.
“Apabila sampai di tempat kejadian kereta dinaiki mangsa dipercayai terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar treler yang datang dari arah hadapan (bertentangan).
“Akibat kejadian, pemandu dan dua penumpang kereta meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Azahari, mayat ketiga-tiga mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE