PETALING JAYA – Penceramah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub membuat permohonan susulan kenyataannya berhubung perarakan Thaipusam disertai kaum Melayu beragama Islam baru-baru ini.
Mohamad Wadi dalam satu kenyataan media berkata, beliau dalam satu ceramah di Masjid Al-Azim di Melaka terlepas pandang dengan menyebut perkataan ‘sembah syaitan’.
“Dalam ceramah itu, saya telah menyebut tentang perarakan Thaipusam yang dihadiri oleh sekumpulan orang Melayu dan ia merupakan kesalahan dalam agama Islam kerana menyertai perayaan agama lain yang berbentuk keagamaan.
“Saya terlepas pandang dengan menyebut perkataan ‘sembah syaitan’ dan ia kekhilafan saya sendiri. Dengan ini saya mohon maaf kepada seluruh masyarakat India beragama Hindu di atas kenyataan tersebut,” katanya hari ini.
Mohamad Wadi seterusnya berkata, beliau tidak berniat untuk menghina atau menyinggung perasaan mana-mana penganut agama lain.
Ujarnya, beliau menghormati masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini dan berharap dengan permohonan maaf itu maka keharmonian rakyat berbilang kaum dapat dicapai. – KOSMO! ONLINE