PETALING JAYA – Penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza meletakkan sasaran tiga penyanyi wanita hebat masing-masing Aina Abdul, Marsha Milan dan Ernie Zakri sebagai pesaing sengit untuk memenangi kategori Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37).
Menerusi sesi Live dalam Instagram, Siti atau mesra disapa TokTi mengakui dirinya kurang mengetahui lagu-lagu yang bakal bertanding di AJL37 malam nanti, namun cukup kenal kehandalan penyanyi yang berentap pada malam ini.
“Kalau tanya ramalam saya, sebenarnya saya dah lama tidak mengikuti Anugerah Juara Lagu. Tapi saya tahu beberapa penyanyi yang masuk (bertanding).
“Untuk kategori vokal, Marsha, Ernie dan Aina Abdul. Mereka semua memang hebat-hebat. Ketiga-tiganya ada peluang untuk menang,” kata Siti.
Dalam pada itu, Siti sempat menitipkan doa buat penyanyi yang bakal bertanding mala mini termasuk untuk pencipta lagu supaya terus melahirkan karya-karya yang hebat.
“Untuk semua finalis, semoga berhaya. Semua berhak untuk menang. Cuma malam itu adalah rezeki Allah SWT berikan pada siapa yang akan bergelar juara.
“Saya ucapkan selamat berjaya. Terus menghiburkan semua dengan karya-karya terbaik.
Untuk rekod, Siti, 44, pernah menyertai AJL sebanyak 10 kali membabitkan 19 buah lagu yang berjaya mara ke peringkat akhir sejak tahun 1996.
Sepanjang pembabitannya dalam AJL, Siti pernah membawa pulang trofi utama AJL sebanyak tiga kali menerusi Jerat Percintaan (1996), Cindai (1998) dan Balqis (2000). – KOSMO! ONLINE