SEREMBAN – “KJ (Khairy Jamaluddin) tengah fokus apa nak cakap dekat HotFM’s ‘Bekpes’. Saya risau dia (Khairy Jamaluddin) cakap Negeri Sembilan, orang KL (Kuala Lumpur) tak faham dia cakap apa,” seloroh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika ditanya mengenai status terkini khabar kerjasama bekas Ahli Parlimen Rembau dalam Bersatu.
Ahmad Faizal bagaimanapun berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengalu-alukan kerjasama Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam parti itu terutamanya dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menurutnya, buat masa ini, Khairy Jamaluddin masih lagi belum membuat sebarang keputusan walaupun didambakan oleh pelbagai parti politik di negara ini.
Sementara itu, Ahmad Faizal menzahirkan keterujaannya menanti Khairy Jamaluddin memulakan tugas sebagai penyampai radio HotFM pada 15 Februari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal Azumu memaklumkan beliau telah mendapat mandat dari pucuk pimpinan untuk lebih kerap ‘turun padang’ ke Negeri Sembilan bagi mendekati rakyat.
Ujar Ahmad Faizal, beliau bersama kepimpinan negeri akan berkerja bersama-sama dalam usaha memastikan kejayaan menubuhkan Kerajaan Negeri selepas pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi. – KOSMO! ONLINE