KUALA LUMPUR – Kemunculan penyanyi Naim Daniel mempersembahkan lagu Mainan dalam Anugerah Juara Lagu ke-37 dengan konsep persembahan tidak pernah dibikin dalam sejarah iaitu menyanyi secara terbalik atau ‘upside down’ mencuri perhatian ramai.
Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin menyanyikan lagu ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K & Mas Dewanga sementara lirik ditulis Arisz Ab Rahman dalam keadaan dirinya tergantung dari bumbung pentas dari mula hingga akhir persembahan.
Tahun edisi ke-36, Naim turut menyajikan konsep tergantung namun bukan diri tetapi menggunakan katil tergantung sebagai prop ketika menyampaikan lagu Purnama.
“Kalau saya nyanyi mahu tak biru,” ujar pengacara, Sherry Alhadad usai Naim tamat melakukan persembahan.
Malam ini, selain Naim, 11 finalis berentap antaranya Aina Abdul yang mempertaruhkan lagu Terus Hidup ciptaan beliau sendiri. Alif Satar & The Locos mempertaruhkan lagu Anugerah Terindah ciptaannya bersama Romeo, Tam Cobain, Arwis/lirik Alif, Shah Shamshiri dan Romeo.
Lagu lain yang bertanding termasuklah Korban (Ernie Zakri), Bahagiakan Dia ( Shila Amzah dan Liza Hanim).
Turut bersaing, Suatu Malam Di Temasek dendangan Joe Flizzow dan SonaOne ciptaan SonaOne dengan lirik dihasilkan SonaOne dan Joe Flizzow; Debu (Dayang Nurfaizah, Amir Masdi/ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam, Acap Salim).
Sementara itu, pentas AJL37 akan digamatkan dengan saingan Kembali Terang (Marsha Milan/ciptaan Senna dan Ajin/lirik Senna); Nang (Iman Troye/ciptaan Ezra Kong dan A Ramle) serta Payung Pelangi (Noki, MK/ciptaan dan lirik Noki, MK).
Tidak ketinggalan, Sengsara (Khai Bahar/ciptaan Johm Reeves, Firdaus Rahmat dan Omar K dan Irama (Shiha Zikir/ciptaan Qie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves). – KOSMO! ONLINE