fbpx

‘Makan malam kenangan terakhir kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Liely Khafisah (lima dari kanan) dan Norshahira (empat dari kanan) ketika berada di pekarangan Hospital Muadzam Shah semalam.

ROMPIN – Perjalanan pulang tiga rakan daripada makan malam bersama dua sahabat lain berakhir tragedi apabila ketiga-tiga mereka maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 27 Jalan Ibam – Rompin, dekat kilang Farm Fresh kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.08 malam itu, dua beradik iaitu Suhada Ramli, 22, dan kakaknya Nazira, 23, dan rakan mereka, Nurul Natasha Ahmad Akbal, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki ketiga-tiga mereka dari arah Muadzam Shah ke Rompin terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar treler yang datang dari arah hadapan.

Seorang rakan mangsa, Liely Khafisah Md. Deli, 22, berkata, Suhada telah menghubunginya dan Norshahira Mohd Isa, 22, mengajak mereka berdua makan di sebuah restoran di bandar Muadzam Shah.

Menurutnya, selepas pertemuan mereka di restoran berkenaan, Shuhada telah menghantarnya dan Norshahira pulang ke rumah mereka di Bukit Ibam kira-kira pukul 8 malam.

“Itu kali terakhir kami berjumpa dengan mereka bertiga. Saya mendapat berita menimpa mereka kira-kira pukul 1 pagi melalui rakan-rakannya dan sangat terkejut kerana baharu saja kami bersembang panjang,” katanya.

Liely Khafisah berkata, kesemua mereka telah bersahabat sejak belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin dan ketiga-tiga mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika perjumpaan yang diadakan di restoran berkenaan.

“Tak ada apa yang berubah. Mereka juga saya lihat ceria seperti biasa,” ujarnya sebak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI