IPOH – Tiga beradik terpaksa menerima hakikat menjadi yatim piatu dalam sekelip mata apabila kehilangan dua insan tersayang yang meninggal dunia hanya dalam tempoh tiga bulan.
Kakak sulung daripada tiga beradik tersebut, Hannah Nur-Assyura Herdi Uzaidi, 16, berkata, pemergian ibu dan bapa mereka pada dua tahun lalu amat mengejutkan lebih-lebih lagi ketika negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pengerakan (PKP).
“Ibu yang bekerja kilang meninggal dunia akibat kanser ovari, manakala ayah yang bertugas sebagai pemandu di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perak pula meninggal dunia akibat kanser paru-paru.
“Ibu dan ayah meninggal dunia sewaktu PKP dan selepas kematian mereka, kami tiga beradik dijaga oleh nenek di kediaman kami di Chemor,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini baru-baru ini.
Terdahulu, tiga beradik itu ditemui ketika membeli barangan keperluan sekolah tajaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di pasar raya Mydin di sini baru-baru ini.
Selain Hannah Nur-Assyura, dua lagi adiknya yang kini tinggal bersamanya ialah Hayyan Mikhail, 13, dan Hariri Maliki, 6.
Bapa mereka, Herdi Uzaidi Baharuddin meninggal dunia ketika berusia 41 tahun pada 15 Ogos 2021, manakala ibunya, Siti Norliza Wathyati Bee, 38, pula menghembus nafas terakhir pada 12 Oktober 2021.
Sementara itu, Pengarah Perkeso Perak, Zainal Ismail berkata, pertubuhan itu akan membiayai pendidikan ketiga-tiga beradik itu sehinggalah mereka berumur 21 tahun.
“Kami akan tanggung sehingga umur 21 tahun atau sehingga ijazah pertama di universiti. Selain itu, tiga beradik itu juga kini diambil sebagai anak angkat Perkeso Perak,” katanya.
Dalam pada itu, Zainal turut meminta majikan untuk memastikan semua pekerja mencarum dengan Perkeso kerana ia dapat menjamin kebajikan pekerja.
Beliau juga menyeru semua wanita yang berumur di bawah 55 tahun untuk mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) bagi melindungi mereka sekiranya ditimpa bencana seperti perjalanan ke pasar dan mengambil anak dari sekolah. -KOSMO! ONLINE