fbpx

‘Jangan politikkan perkhidmatan awam untuk kepentingan politik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) memandang serius kenyataan yang mendakwa perkhidmatan awam didominasi oleh kaum Melayu dan menggesa ia direformasikan.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, kenyataan individu tersebut mengenai dasar berasaskan kaum dalam pengambilan serta kenaikan pangkat penjawat awam, adalah satu tuduhan berat dan tidak berasas.

“Cuepacs terkilan apabila wakil rakyat itu membuat kenyataan terbuka tanpa mendapatkan maklumat tepat daripada kerajaan.

“Apatah lagi beliau merupakan salah seorang wakil rakyat daripada parti politik yang membentuk kerajaan ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, pengambilan dan pelantikan kakitangan dalam sektor itu berasaskan merit dan kompetensi calon tanpa sebarang kuota seperti ketetapan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“SPA tidak pernah tetapkan calon perlu tepati sebarang kuota seperti agama, kaum, etnik atau negeri tertentu sebaliknya bergantung kepada kehendak, minat dan kecenderungan individu.

“Beliau patutnya beri kesedaran kepada rakyat mengenai peluang kerjaya dalam sektor perkhidmatan awam supaya pelbagai kaum berminat atau mengetahui peluang kerjaya tersebut,” ujarnya.

Ketika ini katanya, sambutan daripada kaum bukan bumiputera untuk menyertai perkhidmatan awam dilihat kurang kerana berpandangan gaji rendah berbanding sektor swasta atau berniaga.

“Sebelum ini ramai tak berminat sertai perkhidmatan awam sebab faktor gaji rendah jika dibandingkan pekerjaan bidang lain.

“Kebanyakan mereka yang sertai perkhidmatan awam terutama di sektor keselamatan dan pertahanan adalah disebabkan faktor patriotik serta cintakan negara.

“Disebabkan faktor ini jugalah penjawat awam sentiasa neutral dan tidak politikal dalam mencurahkan bakti kepada negara dan rakyat tanpa mengambil kira bangsa seseorang itu,” jelasnya.

Dalam masa sama Cuepacs turut menasihatkan semua pihak terutamanya ahli politik supaya tidak menggunakan perkhidmatan awam untuk kepentingan politik masing-masing.

Terdahulu, media melaporkan, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy mendakwa terdapat diskriminasi kaum secara rahsia apabila berkaitan dengan prospek kenaikan pangkat untuk bukan Melayu dalam sektor awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI