PETALING JAYA – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berjaya mengeluarkan lima lagi mangsa maut dari runtuhan di Nurdagi, Gaziantep.
SMART, Nadma menerusi Facebook memaklumkan, kelima-lima mangsa tersebut melibatkan seorang kanak-kanak, tiga wanita dan seorang lelaki dewasa.
Namun katanya, ada ketika operasi terpaksa dihentikan sementara ekoran terdapat gegaran susulan kecil berlaku.
“Mangsa dikeluarkan pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas dan penggunaan jengkaut dengan kaedah memotong dan memecah.
“Operasi adalah amat rumit dan ada ketika terpaksa dihentikan sebentar kerana terdapat gegaran susulan kecil. Kawasan ini sangat berbahaya memandangkan struktur tidak stabil,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE