MANCHESTER – Penjaga gol Manchester United, David De Gea bakal mencipta rekod menjadi pemain bukan dari Britain pertama yang membuat 400 penampilan bersama satu kelab di Liga Perdana Inggeris jika diturunkan menentang Leeds United malam ini.
United tercicir dua mata penting pada perlawanan menentang Leeds Khamis lalu di Old Trafford selepas sekadar terikat 2-2 menyebabkan mereka terdesak untuk meraih kemenangan pada aksi kali ini di Elland Road.
Penjaga gol kelahiran Sepanyol itu beraksi dalam kesemua 22 perlawanan EPL musim ini dan aksi menentang Leeds nanti adalah cukup istimewa untuk dia meraih rekod berkenaan.
Sejak menyertai United dari Atletico Madrid pada 2011, De Gea berjaya mempamerkan aksi yang cukup konsisten apabila beraksi tidak kurang daripada 26 perlawanan EPL dan purata 34 aksi semusim dalam semua kejohanan untuk tempoh 11 musim di Old Trafford.
Ketika kontrak semasanya berbaki enam bulan lagi, spekulasi mengenai masa depannya kembali hangat diperkatakan, namun De Gea percaya proses rundingan yang sedang berjalan mampu memberikan keputusan positif.
“Kami masih berbincang. Saya fokus untuk turun beraksi dalam perlawanan dan apa yang penting saya percaya proses ini akan berakhir dengan positif,” katanya.
Dalam pada itu, pengurus Manchester United, Erik Ten Hag mengesahkan bahawa beliau tidak dapat menggunakan khidmat Anthony Martial, Scott McTominay dan Anthony menjelang aksi menentang Leeds malam ini ekoran masalah kecederaan.
“Saya tidak menjangkakan mereka berada dalam senarai pemain. Setakat ini, itu sahaja masalah yang saya dapat lihat dalam pasukan, mereka tidak mungkin mampu diturunkan menentang Leeds,” katanya. –AGENSI