fbpx

EPL: Arsenal ‘tercicir’ mata lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Leandro Trossard berjaya menjaringkan gol pertama peribadinya bersama Arsenal pada aksi kali ini. - Foto ihsan Twitter

LONDON – Kemelut prestasi pasukan Arsenal berterusan selepas hanya seri 1-1 bertemu Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung di Stadium Emirates sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, skuad The Gunners kendalian Mikel Arteta meletakkan kesebelasan terbaik dengan pemain seperti Martin Odegaard, Bukayo Saka dan Eddie Nketiah mengetuai jentera serangan.

Namun, pasukan pelawat dilihat terlebih dahulu melakukan ancaman tetapi Rico Henry gagal melakukan rembatan yang tepat selepas menerima hantaran cantik Ivan Toney seawal minit ke-5.

Arsenal kembali menguasai permainan dan kini peluang Odegaard untuk menguji bentent pasukan pelawat tetapi tidak dapat melakukan rembatan yang kemas untuk menguji penjaga gol lawan, David Raya pada minit ke-15.

The Bees meraih peluang terbaik untuk memecah kebuntuan tetapi rembatan yang dilakukan oleh Toney pada minit-25 sekadar menggegarkan palang ketika penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale sudah pun tertewas.

Bersambung pada babak kedua, Raya terpaksa menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi apabila Odegaard sekali lagi melakukan rembatan hasil daripada hantaran Nketiah pada minit ke-51.

Gol yang dicari Arsenal akhirnya tiba selepas Saka bijak melakukan hantaran tepat yang berjaya disudahkan dengan baik oleh pemain gantian, Leandro Trossard pada minit ke-66.

Namun, kegembiraan Arsenal tidak bertahan lama selepas pasukan pelawat dapat menjaringkan gol hasil sentuhan Toney yang menyudahkan peluang yang dicipta Christian Norgaard berselang lapan minit kemudian.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha memburu kemenangan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Ini adalah aksi tanpa kemenangan kedua berturut-turut Arsenal dalam dua aksi EPL dan mereka berdepan laluan sukar apabila bakal bertemu Manchester City pada awal pagi Khamis depan.

Buat masa ini The Gunners kekal di kedudukan pendahulu selepas mengutip 51 mata daripada 21 perlawanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI