JAKARTA – Seorang lelaki di Manado, wilayah Sulawesi Utara tergamak memukul bayi perempuannya yang berusia enam bulan sehingga meninggal dunia, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia semalam.
Suspek yang hanya dikenali sebagai AB, 25, didakwa berasa terganggu dengan suara tangisan anaknya itu ketika bermain permainan video dalam talian.
“Pelaku terganggu dengan tangisan anaknya ketika sedang bermain permainan online.
“Dia memukul bibir dan kepala mangsa menggunakan tangan. Suspek kini telah ditangkap,” kata Ketua Perhubungan Awam Polis Wilayah Sulawesi Utara, Jules Abraham Abast.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Bhayangkara Manado untuk rawatan. Malangnya, bayi itu tidak dapat diselamatkan.
“Pegawai perubatan memaklumkan bahawa terdapat kejanggalan mengenai punca kematian bayi itu. Jadi, penyiasat kami datang ke hospital untuk melihat keadaan mangsa.
“Penyiasat kemudian meminta bedah siasat dilakukan,” jelas Jules.
Hasil bedah siasat mendapati terdapat tanda-tanda objek kekerasan akibat tumpul ditemui pada mayat mangsa, kata Jules.
“Mangsa disyaki dilakukan kekerasan menggunakan objek tumpul terutamanya di bahagian muka dan kepala.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek sering mendera anaknya seawal usia empat bulan dengan menyalakan puntung rokok di perut selain turut menggigit perut mangsa,” tambahnya.
Suspek ketika ini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sulawesi Utara untuk siasatan lanjut. – Agensi