fbpx

AJL37 tunaikan impian Shiha Zikir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHIHA ZIKIR

SELAMA tiga tahun berturut-turut dapat menjejakkan kaki ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), penyanyi bertubuh kecil molek, Shiha Zikir berasa sangat teruja apabila buat pertama kalinya bakal membuat persembahan di Axiata Arena, Bukit Jalil untuk edisi ke-37 AJL tahun ini.

Kata Shiha, selepas 13 tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian, ini kali pertama dia bakal beraksi di Axiata Arena, sekali gus melengkapkan impiannya untuk membuat persembahan di pentas hebat tersebut.

“Ini kali ketiga berturut-turut saya berpeluang untuk bertanding di pentas AJL termasuk edisi AJL35 ketika menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu 7 Nasihat dan diikuti tahun lalu (AJL36) untuk lagu AEWO.

“Tahun ini, keterujaan saya lebih berganda apabila dapat membuat persembahan di pentas Axiata Arena yang menjadi impian saya sejak dahulu lagi.

“Sudah 13 tahun saya berada dalam industri dan akhirnya impian saya untuk berdiri di atas pentas Axiata Arena tercapai. Selalunya saya lihat persembahan orang lain sahaja,” ujar pemilik nama lengkap Nurshiha Mohd. Zikir itu.

PELUANG beraksi di Axiata Arena melengkapkan impian Shiha untuk mengadakan persembahan di lokasi gah tersebut.

Ketika disoal tentang persiapannya mempertaruhkan lagu Irama ciptaan Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves, Shiha bersyukur kerana dibantu pasukan untuk menghasilkan yang terbaik.

Setiap kali dia membuat persembahan pentas, pasukannya akan mengerah kudrat memastikan hasil yang dipersembahkan nanti, lain daripada yang lain.

“Dari segi persediaan, alhamdulillah pasukan saya sangat komited untuk hasilkan yang terbaik. Memang setiap kali saya membuat persembahan, mereka (pasukannya) akan mengerah kudrat dan idea untuk tonjolkan kelainan.

“Tapi sejujurnya, saya sangat berdebar dan bimbang kerana tahap kesihatan tidak begitu mengizinkan sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Jelas wanita kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu, dia mengalami demam teruk sejak beberapa hari lalu dan masih dalam proses menyembuhkan diri.

“Saya alami demam teruk dan batuk-batuk sehingga sekarang. Jadi proses latihan terpaksa dilakukan pada saat akhir sebelum perlu melakukan latihan di Axiata Arena.

“Jadi saya berdebar dan bimbang kerana memikirkan soal kesihatan yang agak terganggu. Memang risau sangat hanya Tuhan yang tahu. Saya sudah beberapa kali berjumpa doktor, namun masih belum okey,” katanya.

Bagaimanapun, situasi tersebut tidak membuat Shiha bersikap ‘ala kadar’ kerana peluang untuk beraksi di pentas AJL bukan boleh dinikmatinya setiap tahun jika bukan rezeki.

Untuk edisi AJL37, Shiha mendedahkan konsepnya akan lebih tertumpu pada aspek teknikal bagi menonjolkan persembahan Irama.

SHIHA melakukan sehabis baik untuk AJL37 semuanya kerana mahu peminat berpuas hati.

“Tahun ini lebih kepada teknikal untuk menghidupkan ‘suasana’ Irama di atas pentas. Insya-Allah saya tidak akan kedekut untuk puaskan hati sendiri dan pihak lain yang terlibat,” katanya.

Menyentuh tentang harapannya, penyanyi yang dikatakan mempunyai wajah seiras dengan Diva asal Indonesia, Rossa itu berharap agar persembahannya pada AJL37, malam ini akan meninggalkan kesan dan memori buat penonton untuk bercakap tentangnya.

“Saya mahu pasukan saya turut diberi pujian. Contohnya penari, pereka baju, konsep, semuanya layak diberi pujian.

“Sebab tanpa mereka, tidak mungkin saya dapat seperti apa yang saya mahukan,” ujarnya lagi.

Begitupun, Shiha akur terhadap konsep sesuatu pertandingan apabila ada kalah dan ada menang.

Apa yang pasti, dia mahu memberi kepuasan terutama kepada peminat yang selama ini menyokong perjalanan karier seninya.

“Kalau peminat tahu kos yang saya laburkan untuk persembahan ini, mereka akan tahu kesungguhan saya demi memberikan yang terbaik.

“Memanglah, semua orang nak menang. Tapi apa yang penting adalah untuk hasilkan kepuasan terbaik buat penonton.

“Sekurang-kurangnya saya telah buat yang terbaik dan puas dengan apa yang saya lakukan,” kata Shiha.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI