KUALA LUMPUR – Seramai lapan individu termasuk dalang utama sindiket skim simpanan yang dikenali sebagai Sapiza Saving Extra (SSE) berjaya ditahan pihak polis pada 27 Januari lalu.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, kesemua mereka terdiri daripada dua lelaki dan enam wanita berusia dalam lingkungan usia 31 hingga 37 tahun.
Ujarnya, PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) telah melakukan serbuan dan tangkapan di sekitar Kuala Lumpur, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan.
“Sehingga kini, sejumlah 116 laporan polis telah diterima melibatkan nilai kerugian berjumlah RM4,438,300.
“Siasatan awal mendapati skim ini telah mula aktif sejak tahun 2015 dengan menawarkan simpanan berasaskan ‘Permainan Kutu’.
“Namun bermula pada tahun 2021, skim ini mula menawarkan beberapa pelan simpanan baharu iaitu pelan serendah RM250 sehingga RM20,000 merangkumi tempoh simpanan antara dua hingga lima bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Noorsiah, skim baharu yang ditawarkan kononnya turut menjanjikan keuntungan sebanyak 15 peratus hingga 40 peratus daripada jumlah wang yang disimpan.
Bagaimanapun katanya, sejak bulan Oktober tahun lalu, pengendali Skim Simpanan ini didapati mulai gagal untuk melunaskan pembayaran keuntungan kepada peserta.
Dalam pada itu, antara barang yang dirampas adalah sebuah kenderaan mewah, kad-kad bank, telefon bimbit pelbagai jenama dan pelbagai dokumen yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penipuan ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengunahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Noorsiah juga mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan.
“Dapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM) dan Security Commission (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim-skim yang meragukan,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan lebih 2,000 individu berputih mata apabila mereka menjadi mangsa penipuan kepada skim ‘kutu extra’ didalangi seorang wanita digelar ‘ibu kutu’.
Tidak hanya kempunan untuk mendapatkan pulangan tambahan hasil pelaburan kutu yang dilakukan, malah rata-rata mangsa mendakwa mengalami kerugian sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.
Difahamkan, ibu kutu kepada skim ini dipercayai berjaya mengumpul sejumlah RM70 juta hasil kutipan duit kutu daripada pemain sebelum wanita itu dilaporkan menghilangkan diri. – KOSMO! ONLINE