fbpx

[VIDEO] Anggota polis dirempuh motosikal penagih pil kuda terima 13 jahitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang anggota polis (duduk) cedera pada bahagian betis kanan selepas dirempuh sebuah motosikal di SJR dekat Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, Taman Tengku Anis di Pasir Mas, semalam. FOTO IHSAN POLIS

PASIR MAS – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal terpaksa menerima 13 jahitan pada betis kanannya selepas dirempuh sebuah motosikal yang cuba melarikan diri semasa tiba di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang dekat Taman Tengku Anis di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Nasim Aiman Nor Resat, 30, cedera selepas dilanggar motosikal ditunggang oleh seorang pemuda warga negara Thailand berusia 19 tahun yang turut membawa 10 biji pil kuda bersamanya selain positif dadah jenis methamphetamine.

Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, siasatan mendapati, semasa anggota polis itu bertugas SJR, sebuah motosikal jenis Honda Wave cuba melarikan diri daripada sekatan tersebut.

Menurutnya, suspek membuat pusingan U sebelum hilang kawalan dan merempuh Nasim Aiman.

“Rempuhan tu menyebabkan anggota polis itu luka pada betis kanan dan dihantar ke Hospital Pasir Mas di sini untuk rawatan lanjut. Bahagian yang cedera kemudian terpaksa dijahit dengan 13 jahitan.

“Suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan ke atas motosikal yang ditunggangnya menemui sebuah kotak rokok mengandungi penyedut minuman yang berisi 10 biji pil kuda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Aminuddin memberitahu, hasil siasatan lanjut, suspek dipercayai bertindak melarikan diri semasa tiba di SJR itu selepas dia tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika menunggang motosikal selain memiliki dadah.

Katanya, ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI