BANGKOK – Seorang wanita di Thailand melontar botol berisi asid ke arah seorang doktor haiwan di mahkamah selepas menyalahkan mangsa berhubung kematian anjing peliharaannya, lapor laman berita Thaiger.
Natthiyaporn, 25, mencederakan doktor haiwan bernama Kanchana, 30, di Mahkamah Wilayah Chaiyaphum di daerah Mueang, wilayah Isaan semalam.
Mangsa mengalami luka di muka dan lengan kanannya dalam kejadian itu yang turut mencederakan dua pegawai mahkamah.
Berdasarkan laporan, Natthiyaporn telah menghubungi klinik tempat Kanchana bekerja untuk mengadu mengenai kesihatan anjing peliharaannya.
Klinik itu bersetuju merawat anjing itu selepas mendapati ia menghidap penyakit radang usus yang serius. Kanchana kemudian menyuntik anjing itu dan mengesyorkan rawatan lanjut, tetapi ditolak oleh Natthiyaporn kerana dia mengalami kekangan kewangan.
Saluran televisyen Channel 7 melaporkan bahawa Natthiyaporn membayar untuk rawatan awal dan membawa anjing itu pulang, sebelum ia mati beberapa hari kemudian.
Natthiyaporn menyalahkan klinik tersebut atas kematian anjingnya. Dia menghubungi klinik itu untuk membuat aduan dan menyebarkan fitnah di media sosial.
Kanchana memfailkan aduan rasmi selepas fitnah itu tersebar. Natthiyaporn didakwa melanggar Seksyen 328 Akta Jenayah yang melarang perbuatan menghina seseorang melalui pengiklanan menggunakan dokumen, gambar, filem atau mesej.
Natthiyaporn kemudian mengancam untuk membunuh Kanchana dan seorang lagi doktor haiwan di klinik itu, serta pegawai di mahkamah. Ia menyebabkan Kanchana menolak permohonan ikat jaminnya di mahkamah.
Tindakan itu menyebabkan Natthiyaporn marah dan mengejar Kanchana. Dia kemudian melempar botol asid yang disembunyikan di dalam beg ke arah mangsa.
Natthiyaporn ditahan di Mahkamah Wilayah Chaiyaphum dan akan kekal di sana sehingga perbicaraan mahkamah seterusnya. – Agensi