fbpx

Takut keluar malam angkara harimau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar klip video menunjukkan seekor harimau belang sedang berkeliaran di jalan raya sepanjang Bandar Al Muktafi Billah Shah hingga Hulu Dungun baru-baru ini.

DUNGUN – Penduduk Hulu Du­ngun khususnya di Kampung Pasir Raja di sini melahirkan kebimbangan dengan kemunculan seekor harimau belang di kawasan mereka sejak akhir-akhir ini.

Kelibat Pak Belang itu didakwa sering muncul melintasi jalan raya di sepanjang mukim berkenaan hingga ke Bandar Al Muktafi Billah Shah sejak Isnin lalu.

Seorang penduduk, Mohd. Rofi Abdul Razak berkata, kemunculan harimau belang itu menyebabkan kebanyakan penduduk takut untuk keluar terutama pada waktu malam.

Selain itu, mereka juga risau mengenai nasib haiwan ternakan yang berkemugkinan menjadi mangsa haiwan buas terbabit.

“Kebimbangan kami berasas dengan penemuan kesan tapak kaki disyaki milik harimau belang di dalam kawasan kebun.

“Beberapa lembu ternakan kami juga ditemui mati dengan kesan terkaman disyaki akibat perbuatan Pak Belang.

“Saya banyak habiskan masa berada di kawasan ladang kelapa sawit untuk mengawasi ternakan dan tanaman. Sudah pasti saya juga bimbang dengan keselamatan diri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, pe­nemuan harimau belang itu telah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Kita harap tindakan segera diambil oleh Perhilitan. Saya bimbang keselamatan penduduk dan haiwan ternakan mereka.

“Apatah lagi lokasi penemuan harimau belang yang berkeliaran itu hanya terletak 10 kilometer dari penempatan penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan berhubung penemuan harimau belang terbabit.

“Sebenarnya lokasi penemuan haiwan liar berkenaan berhampiran dengan hutan simpan yang menjadi habitatnya.

“Saya tidak menolak kemungkinan harimau berkenaan cuma melintasi kawasan tersebut untuk pulang ke habitatnya. Begitupun, kami akan pantau agar tidak berlaku konflik antara haiwan dan manusia,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI