LAUT adalah ‘rumah’ bagi pelbagai spesies ikan, sekali gus menjadikan ia sebagai ‘syurga’ kepada pemancing dan lubuk rezeki buat nelayan.
Bagaimanapun, memancing di laut tidak semudah di air tawar kerana spesies ikannya lebih agresif dan mencabar untuk didaratkan.
Biarpun begitu, ia tidak menjadi penghalang buat pemancing di Sabak Bernam, Selangor untuk meneroka laut di daerah itu.
Laut di situ dikatakan menjadi lubuk kepada beberapa spesies ikan.
Menurut kaki pancing, Mohd. Azizul Akmal Ismail, 40, kawasan laut Sabak Bernam menjadi lubuk kepada pelbagai spesies ikan seperti sembilang, senangin, jenahak, kerapu, pari, tenggiri dan siakap.
Kongsinya, dia paling suka memburu ikan sembilang.
Terangnya, dalam kalangan rakan-rakan, dia turut dikenali dengan gelaran ‘hantu’ sembilang.
“Kalau memancing di laut, kebanyakan pemancing akan memburu jenahak, namun jika beruntung boleh dapat tenggiri atau pari.
“Meskipun begitu, saya lebih suka memburu sembilang. Laut di Sabak Bernam juga mempunyai banyak lubuk yang sering saya kunjungi setiap kali keluar memancing,” katanya.
Tambahnya lagi, berbeza dengan ikan lain, memancing sembilang lebih ‘berhantu’ kerana ia merupakan antara spesies yang agresif untuk ditawan.
Kongsinya lagi, memancing sembilang di laut juga memerlukan persediaan rapi, namun bergantung kepada lubuk yang dituju.
“Kita perlukan joran antara 2.1 hingga 2.7 meter mengikut kedalaman. Lagi dalam laut, semakin agresif ikan di situ.
“Bagi umpan pula, saya sering menggunakan umang-umang atau sotong kurita.
“Kedua-duanya umpan ini adalah kegemaran ikan sembilang,” ujar lelaki yang berasal dari Sabak Bernam itu.
Sementara itu, seorang kaki pancing, Razani Hassim, 42, berkata, kebanyakan lubuk-lubuk di Sabak Bernam menawarkan ikan yang pelbagai.
Katanya, Sabak Bernam turut memiliki kelong-kelong yang boleh menjadi lokasi pilihan buat para pemancing.
“Di Sabak Bernam, kita ada beberapa lubuk memancing yang popular.
“Antaranya seperti lubuk kapal pecah, lubuk tiang dan lubuk lubang yang popular dengan ikan seperti jenahak, senangin serta kerapu.
“Kita juga mempunyai lebih lima kelong kayu dan satu kelong konkrit yang boleh menjadi lubuk untuk pemancing memburu ikan,” kongsinya.
Tambah pesara kerajaan itu, hasil memancing di laut sekitar Sabak Bernam sangat bergantung kepada musim.
Ujarnya, waktu yang sesuai untuk memancing adalah sekitar Jun hingga September atau sebelum musim tengkujuh.
“Biasanya, saya akan turun pada musim-musim ‘selamat’ iaitu sebelum tengkujuh pada hujung tahun.
“Laut di Sabak Bernam ini berada di kawasan selat.
“Namun, jika musim tengkujuh, lautnya masih bergelora. Keadaan ini tidak selamat untuk pemancing terutama yang menggunakan bot kecil,” kongsinya.
Tambahnya lagi, sebelum ini pernah berlaku kejadian kelong kayu runtuh akibat dipukul badai semasa musim tengkujuh.