ALOR SETAR – Tempoh reman seorang pembantu tukang masak yang disyaki menyebabkan kematian majikannya di sebuah restoran di Jalan Stadium di sini minggu lalu disambung sehingga 16 Februari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, tempoh reman selama tujuh hari ke atas suspek sebelum ini berakhir hari ini.
“Reman disambung bagi membolehkan siasatan terhadap kes tersebut diteruskan,” katanya di sini hari ini.
Pada 4 Februari lalu, seorang lelaki berusia 68 tahun yang merupakan pemilik restoran rebah setelah bergaduh dengan pekerjanya yang juga pembantu tukang masak.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, kedua-dua mereka dipercayai berbalah susulan perselisihan faham antara anak mangsa dan isteri suspek berkaitan bekas peralatan makanan yang sudah dicuci di restoran tersebut.
Difahamkan berlaku perang mulut antara dua lelaki terbabit sebelum mangsa turut diserang dengan menggunakan kayu dan ditumbuk.
Pergaduhan antara mereka berjaya dileraikan, namun mangsa dikatakan rebah sebelum disahkan meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE