PETALING JAYA – Masih berlarutan sehingga ke hari ini, kemelut antara Puteri Sarah dengan Ira Kazar terus memanas selepas ahli keluarga madunya itu mengganggu ketenteraman dan keseronokannya yang sedang bercuti di Dubai bersama anak-anak.
Menerusi perkongsian dalam InstaStory, pelakon itu menyangkal dakwaan seorang ahli keluarga Ira dipercayai abangnya yang mengatakan kos guaman yang dilantik bagi menguruskan kesnya bersama Syamsul Yusof dibiayai suami dan ayah mentuanya, Datuk Yusof Haslam.
“Senang-senang sahaja belah sana (keluarga Ira Kazar) bercerita peguam saya dibayar oleh Syamsul dan ayah mentua saya.
“Saya pergi umrah dan bercuti luar negara pun mereka kata Syamsul yang bayar. Kalian pasti?” tulisnya.
Enggan namanya sewenang-wenangnya diburukkan, Sarah menegaskan bahawa segala perkara yang dilakukan seperti bercuti dan membiayai peguam adalah hasil kerja keras sendiri yang dilakukan selama ini.
“Subhanallah. Jiwa-jiwa ini tidak aman lagikah? Saya masih di Dubai bergembira di sini dan netizen menunjukkan saya perkara ini.
“Allah mengetahui bagaimana saya bekerja keras berlawan untuk kebenaran saya.
“Allah juga tahu kerja keras saya mencari wang. Siang malam bersengkang mata mencari rezeki,” luahnya.
Menerusi perkongsian lain, pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu turut menyeru pihak berkenaan untuk tampil berbincang dengan peguamnya jika ada ketidakpuasan hati selain menyuruh madunya ‘duduk diam-diam’ setelah berjaya memiliki suaminya.
“Kalau tidak puas hati cakap dengan peguam saya. Mula-mula bapa, selepas itu kakak. Sekarang abang pula.
“Selepas ini siapa pula yang akan mengeluarkan kenyataan. Kenapa dengan satu keluarga ini?
“Dah dapat Syamsul duduk diam-diamlah. Sudah kena perintah injuksi masih tidak boleh berhenti lagi? Kalian mahu apa sebenarnya?” ujarnya.
Sebelum ini, Sarah memfailkan penceraian terhadap Syamsul di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur selepas empat tahun berdepan konflik rumah tangga akibat gangguan orang ketiga.
Kes tersebut akan disambung pada 7 Mac depan.
Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6 dan Sumayyah yang berusia lima tahun.
Perkahwinan mereka diuji apabila Syamsul mendedahkan bahawa dia telah bernikah dengan anak pelakon veteran, Kazar Saisi iaitu Ira Kazar pada 6 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE