KUALA LUMPUR – Tindakan untuk membatal pelantikan Datuk Seri Nazri Aziz sebagai Duta Amerika Syarikat akan menimbulkan banyak masalah dan ia sudah sah sejak tahun lalu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, beliau sebelum ini memohon supaya pelantikan itu ditangguhkan seketika bagi memberi laluan bagi lantikan Kabinet terlebih dahulu.
“Lantikan itu dibuat hampir setahun yang lalu mengambil masa enam bulan untuk Amerika Syarikat mengesahkan. Jadi bila saya datang, maka kerajaan sekarang hanya mengesahkan kerana membatalkan itu menimbulkan banyak masalah.
“Bila saya ambil alih, saya hanya mohon Yang di-Pertuan Agong tangguhkan sedikit watikah itu supaya saya susun dulu jemaah menteri dan saya harus maklumkan kepada jemaah menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Anwar ketika diminta mengulas beberapa kritikan terhadapnya susulan pengumuman Kementerian Luar bahawa Nazri antara 10 ketua perwakilan diplomatik Malaysia yang menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam.
Baru-baru ini, pelantikan Nazri sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat menerima kritikan Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada PKR, Hassan Abdul Karim yang menegaskan jawatan duta perlu dikhaskan kepada diplomat yang mahir dalam hal ehwal antarabangsa.
Anwar turut mengingatkan semua pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan terlalu awal menghukum sebelum sebarang penjelasan dilakukan.
“Sepatutnya orang nak tegur boleh, tapi serangan itu keras seolah-olah kita yang bertanggungjawab, dibuat dan proses pengesahan oleh Amerika Syarikat itu agak panjang, jadi ia telah disahkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE