PETALING JAYA – Kumpulan kedua petugas perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berlepas ke Turkiye menerusi Op Starlight (Operasi Pengendalian Hospital Medan Malaysia di Turkiye), malam tadi.
ATM melalui hantaran di Facebook berkata, seramai 34 orang pegawai dan anggota perubatan dari Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM digerakkan untuk mengoperasikan Hospital Medan Malaysia (HHM) yang akan ditempatkan di Adiyaman, Turkiye.
Katanya, operasi yang diketuai Kolonel Nik Mohd. Noor Nik Amin itu berlepas ke negara tersebut pada malam tadi, menggunakan pesawat komersial dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Kumpulan ini akan bersama kumpulan pertama yang berlepas ke Turkiye pada awal pagi semalam untuk menubuhkan HMM di Adiyaman bagi bantuan kemanusiaan mangsa gempa bumi di Turkiye.” katanya menerusi hantaran itu.
Turut bersama dalam penerbangan tersebut, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Zulkeffeli Mat Jusoh.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan penghantaran Sepasukan Kor Kesihatan Diraja (KKD) ATM ke Turkiye susulan bencana alam melanda negara itu.
Tindakan tersebut bagi mewujudkan hospital medan di kawasan kejadian dan pasukan terbabit akan bertugas di Turkiye selama enam minggu. – KOSMO! ONLINE