PETALING JAYA – Dikejar peminat dan dibaling telur antara suka duka pada era kegemilangan yang dikongsikan New Boyz kepada 750 penonton yang memenuhi PJ Performing Arts Centre (PJPAC), malam tadi.
Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang yang diadakan selama dua malam berturut-turut membuktikan janji kumpulan itu untuk bersatu menerusi sebuah persembahan mega akhirnya menjadi kenyataan.
Demi kepuasan serta memenuhi harapan peminat yang bersama mereka sejak album sulung ketika masih budak hingusan hingga masing-masing kini hampir mencecah usia 40-an, vokalisnya Tomok sanggup mengeluarkan kos sendiri.
Kepuasan penggemar yang membesar dengan lagu New Boyz tidak mampu diukur dengan wang ringgit melihatkan kesungguhan mereka apabila ada yang berpakaian sekolah sebagai simbol mengimbau kenangan zaman remaja.
Apatah lagi katalog dendangan meliputi seleksi hit dari zaman album berjudul nama kumpulan itu sendiri pada 1999 hingga buah tangan keenam mengajak penonton bergoyang bersama.
Seperti dizahirkan pemilik nama sebenar Shah Indrawan Ismail, 39, itu, konsert malam tadi didedikasikan untuk semua, sekali gus dijadikan sebagai pembuka langkah untuk persembahan lebih besar bersempena ulang tahun jubli perak kumpulannya.
“Sebenarnya sampai hari konsert, ramai bertanyakan tiket walaupun sebenarnya sudah habis dijual sejak November lalu.
“Perkara itu menunjukkan tanda positif kerana secara tidak langsung membuktikan New Boyz ada pengikut tersendiri kerana mempunyai katalog lagu hit yang banyak.
“Andai tiada aral memang kami merancang mengadakan konsert bersempena sambutan ulang tahun ke-25 pada 2024 yang tentu saja diadakan di lokasi lebih besar.
“Sudah pasti konsert mega seperti itu memerlukan sokongan penaja. Secara tidak langsung sambutan penonton pada malam ini (semalam) dan esok (hari ini) menunjukkan kami mampu menarik kehadiran penonton,” katanya usai konsert.
Secara kesuruhan, konsert dua malam berturut-turut New Boyz disaksikan sekitar 1,500 penonton termasuk peminat yang datang dari Indonesia, Singapura dan Brunei.
Selain Sejarah Mungkin Berulang, nuansa melankolik zaman bercinta turut disertai 19 lagu lain termasuk Marah Bukan Sifatku, Lukamu Lukaku Jua, Lolita, Ku Miliki Jua, Apa Kau Mau, Khilaf, Qyiam, Hanya Tinggal Sejarah dan Norkia.
Selain Tomok, New Boyz yang mencetus fenomena hingga ke Indonesia, Singapura dan Brunei pada penghujung 1990-an turut membariskan Jay, Lan, Zimi, Afiez, Zack dan Ristoe. – KOSMO ONLINE