MIRI – Sebuah pesawat Boeing 737 milik Malaysian Airlines (MAS) selamat melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Miri pagi tadi, selepas berdepan detik cemas apabila mengalami masalah teknikal pada sayap.
Mengesahkan perkara itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata pesawat MH2574 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Miri itu membawa 101 penumpang dan kru, termasuk seorang bayi.
“Saya telah menerima laporan bahawa terdapat arahan bersiap sedia kerana berlaku masalah teknikal pada pesawat (masalah sayap).
“Semua agensi berkaitan telah dimaklumkan dan bersiap sedia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata pesawat itu sepatutnya mendarat pada pukul 11.10 pagi namun hanya berjaya mendarat pada pukul 11.44 pagi, selepas beberapa kali cubaan melakukan pendaratan.
“Pesawat mendarat dengan selamat. Insiden tersebut tidak menjejaskan operasi lapangan terbang,” katanya. -KOSMO! ONLINE.