AMPANG – Pihak bomba menangguhkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di sini, petang tadi ekoran keadaan gelap.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, operasi yang bermula pukul 5.08 petang tadi ditangguhkan pada pukul 8.15 malam tadi.
Katanya, seramai kira-kira 30 anggota termasuk daripada Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta agensi lain terbabit dalam operasi ini.
“Kita akan memindahkan pusat kawalan (operasi) di sebuah tahfiz berhampiran untuk pencarian esok memandangkan lokasi berkenaan lebih dekat dengan laluan pencarian.
“Dianggarkan keluasan pencarian esok adalah sejauh satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh di dalam longkang berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Norazam, kejadian terjadi apabila dua mangsa berkenaan dipercayai bermain air berhampiran longkang berkenaan bersama tiga lagi rakannya.
“Cuaca buruk dan juga hujan lebat menyebabkan dua mangsa tersebut mungkin tergelincir ke dalam longkang yang sedalam 1.2 meter sebelum dihanyutkan arus deras,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seorang kanak-kanak ditemui maut manakala rakannya masih hilang selepas tergelincir dan hanyut ke dalam sebuah longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Ampang, di sini, petang tadi.
kanak-kanak tersebut, Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan, 10 tahun ditemui kira kira 200 meter daripada jarak dari lokasi kejadian di tebing sungai di lokasi tersebut.
Sementara itu, mangsa kedua, Muhammad Rizqullah Mohd Shafie berusia 8 tahun masih diteruskan sehingga kini. -KOSMO! ONLINE.