SEREMBAN – Satu tindakan baharu akan diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh guru-guru dalam isu penggunaan sistem Pengurusan Identiti (IDME) pada minggu hadapan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sistem berkenaan telah ditutup sepanjang hujung minggu ini dan dalam pada waktu itu beberapa langkah akan diambil supaya ia dibaiki dengan segera.
“Saya telah arahkan untuk sistem ini ditangguhkan untuk hujung minggu ini supaya semua pihak dapat bertenang seketika. Di samping itu langkah-langkah tertentu diambil bagi memastikan sistem ini dibaiki dengan segera, saya fikir kami tidak kompromi soal sistem ini.
“Sepanjang hujung minggu ini ia akan ditangguhkan dan pada hari Isnin ini ada tindakan baharu yang akan diumumkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Bakat Prasekolah Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2023 di sini hari ini.
Fadhlina berkata demikian bagi mengulas gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) supaya pihak Kementerian Pendidikan menangguhkan penggunaan sistem IDME yang belum stabil sehingga didakwa menyusahkan guru-guru untuk melaksanakannya.