fbpx

Harapan temui mangsa masih hidup sangat tipis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR menunjukkan anggota penyelamat menyerahkan seorang bayi perempuan yang ditemui selamat di bawah runtuhan di Antakya, Turkiye pada 8 Februari lalu. -- AFP

ANKARA, Turkiye – Korban gempa bumi dahsyat di Turkiye dan Syria terus meningkat melepasi 21,000 orang kelmarin ketika bantuan pertama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tiba di kawasan-kawasan dikuasai pemberontak, namun harapan untuk menemui lebih banyak mangsa terselamat kini pudar.

Cuaca sejuk menghalang pencarian di bawah beribu-ribu bangunan runtuh dan mengancam nyawa mangsa gempa bumi yang tiada tempat berlindung dan air minuman.

Di bandar Antakya, selatan Turki, saudara-mara menggeledah beg mayat yang dihimpun di luar kawasan letak kereta sebuah hospital untuk mencari waris masing-masing sekali gus membayangkan skala tragedi kali ini.

“Kami menemui mayat ibu saudara tetapi bapa saudara saya masih hilang,” kata Rania Zaboubi yang hilang lapan ahli keluarganya.

Peluang untuk menemui mangsa masih hidup pudar selepas penanda aras 72 jam berlalu. Pakar-pakar menganggap tempoh tersebut kritikal untuk menyelamatkan nyawa.

Gempa bermagnitud 7.8 itu melanda awal pagi Isnin lepas ketika orang ramai sedang tidur. Lokasi gempa terletak di rantau di mana penduduknya menderita dan menjadi pelarian akibat perang saudara Syria.

Sementara itu kelmarin, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, beliau dalam perjalanan ke Syria.

“Dalam perjalanan ke Syria di mana WHO menyokong penjagaan kesihatan utama di kawasan-kawasan yang terjejas akibat gempa bumi baru-baru ini,” kata Tedros dalam komen di laman Twitter.

Bagaimanapun, sebuah konvoi bantuan telah sampai ke kawasan dikuasai pemberontak di barat laut Syria lebih awal pada hari yang sama sekali gus konvoi bantuan pertama sejak gempa bumi berlaku, kata seorang pegawai di lintasan sempadan Bab al-Hawa kepada AFP.

Lintasan itu merupakan laluan tunggal untuk bantuan PBB sampai kepada orang awam tanpa perlu menyeberangi kawasan yang dikuasai oleh tentera kerajaan Syria.

Perang saudara satu dekad dan pengeboman tentera Syria-Russia telah memusnahkan hospital, meruntuhkan ekonomi dan menyebabkan kekurangan air serta bahan api.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mendesak Majlis Keselamatan membuka lintasan sempadan baharu antara Turkiye dan Syria untuk menghantar bantuan kemanusiaan.

Empat juta orang yang tinggal di kawasan dikuasai pemberontak di barat laut Syria terpaksa bergantung kepada lintasan Bab al-Hawa sebagai sebahagian daripada operasi bantuan rentas sempadan yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan hampir sedekad lalu.

“Ini adalah detik perpaduan, bukan masa untuk berpolitik atau berpecah- belah,” kata Guterres.

Di Turkiye, suhu di bandar Gaziantep menjunam kepada -5 darjah Celsius awal kelmarin tetapi beribu-ribu keluarga tetap bermalam di dalam kereta dan khemah sementara kerana terlalu takut atau dilarang pulang ke rumah mereka.

Ibu bapa berjalan di jalan-jalan berdekatan pusat gempa di bandar itu sambil mendukung anak-anak dalam selimut kerana ia lebih panas daripada duduk di dalam khemah.

Gimnasium, masjid, sekolah dan sebilangan kedai dibuka pada waktu malam, namun katil masih sangat sedikit dan beribu-ribu bermalam dalam kereta dengan enjin dihidupkan untuk memberikan haba.

“Saya bimbang mereka yang terperangkap di bawah runtuhan dalam cuaca seperti ini” kata Melek Halici. Dia membungkus anak perempuannya yang berusia dua tahun dengan selimut ketika mereka melihat petugas-petugas penyelamat bekerja bekerja waktu malam.

Petugas-petugas antarabangsa berkata, cuaca sejuk mencengkam telah memaksa mereka untuk menimbang sama ada menggunakan bekalan bahan api terhad untuk memanaskan badan atau menjalankan kerja-kerja mencari mangsa.

“Tiada seorang pun yang tidak bercakap tentang ini (kesejukan). Kami memilih menggunakan bahan api yang masih ada untuk meneruskan operasi,” kata pegawai bomba Greece, Athanassios Balafas.

Dalam perkembangan berkaitan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengaku pada Rabu lalu bahawa terdapat ‘kekurangan’ dalam cara kerajaan menangani bencana itu.Gempa bumi Isnin lalu adalah yang terbesar di Turkiye sejak tahun 1939 apabila seramai 33,000 orang terkorban di wilayah Erzincan.

Pegawai kerajaan dan perubatan berkata, 17,674 orang terkorban di Turkiye dan 3,377 lagi di Syria akibat gempa pada Isnin lalu, membawa kepada angka kematian keseluruhan yang disahkan seramai 21,051 orang. Pakar-pakar bagaimanapun bimbang angka korban akan terus melonjak.

Dalam pada itu, kemarahan terus meningkat berhubung cara kerajaan menguruskan bencana itu.

“Penduduk yang tidak mati dalam bencana gempa bumi dibiarkan menunggu ajal dalam cuaca sejuk,” kata Hakan Tanriverdi kepada AFP di wilayah Adiyaman yang merupakan antara kawasan paling terjejas teruk.

Di sebalik kesukaran yang menanti, beribu-ribu anggota penyelamat tempatan serta asing masih tidak putus asa untuk mencari lebih ramai mangsa terselamat.

Sejumlah 24 kanak-kanak dan sebilangan ibu bapa mereka dari utara Cyprus sedang mengadakan lawatan sekolah untuk menyertai satu kejohanan bola tampar apabila gempa bumi meruntuhkan hotel penginapan mereka di Adiyaman, tenggara Turkiye.

Kerajaan rantau mereka mengisytiharkan gerakan nasional dengan menyewa sebuah pesawat persendirian untuk menyertai misi mencari dan menyelamat kanak-kanak berkenaan.

Dalam pada itu, berpuluh-puluh negara termasuk China dan Amerika Syarikat (AS) berjanji akan membantu.

Bank Dunia menyatakan bahawa pihaknya akan memberikan AS$1.78 bilion (RM7.71 bilion) kepada Turkiye untuk membantu usaha bantuan dan pemulihan.

Bantuan segera berjumlah AS$780 juta (RM3.37 bilion) akan ditawarkan daripada dua projek sedia ada di Turkiye, kata Bank Dunia, manakala bantuan operasi sebanyak AS$1 bilion (RM4.3 bilion) disediakan untuk membantu mangsa ketika projek pemulihan semula dilaksanakan. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI