LONDON – Pemain pertahanan berpengalaman Chelsea, Thiago Silva menggesa rakan sepasukan supaya bersedia sepenuhnya menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Ham United di Stadium London malam ini.
Bekas pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu berharap The Blues dapat mengutip tiga mata penuh bagi mendapatkan suntikan motivasi sebelum aksi pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Borussia Dortmund 16 Februari ini.
Justeru, Silva melaungkan cabaran kepada pemain-pemain Chelsea supaya membuktikan kemampuan sebenar, lebih-lebih lagi mereka sudah berbelanja besar pada jendela perpindahan Januari lalu.
“Saya tahu kami memiliki ramai pemain baharu yang sedang menyesuaikan diri dengan pasukan serta liga. Mereka perlu lakukannya secepat mungkin kerana kami tidak memiliki banyak masa.
“Saingan Liga Juara-Juara akan kembali bersambung, jadi kami perlu dapatkan momentum terbaik ketika berdepan West Ham. Saya yakin semua pemain di kelab ini boleh mencipta keserasian dengan baik,” katanya.
Pada masa sama, pemain antarabangsa Brazil itu mengakui tidak pernah melihat kesungguhan yang ditunjukkan mana-mana kelab sama seperti Chelsea selepas mereka berbelanja lebih £600 juta (RM3.15 bilion) dalam dua jendela perpindahan terdahulu.
“Ini adalah kali pertama dalam karier saya dapat lihat perkara seperti ini. Saya percaya ia menunjukkan betapa besar cita-cita pasukan serta kemahuan untuk menang kerana kami berdepan banyak kecederaan pada musim ini,” ujar Silva. – AGENSI