PETALING JAYA – “Kan saya sudah kata jangan bagi anak main skuter. Kenapa awak bagi juga? Tidak fikirkah?”
Demikian reaksi cemas Datuk Khalid Jiwa yang dikongsikan Datuk Seri Siti Nurhaliza selepas kejadian anak sulungnya, Siti Aafiyah Khalid jatuh tersembam ketika bermain skuter hingga menerima beberapa jahitan minggu lalu.
Menurut penyanyi tersohor itu, dia memilih mendiamkan diri selepas dimarahi suaminya atau lebih dikenali sebagai Datuk K selepas menyedari kesalahan sendiri.
“Sebenarnya sudah lama saya beli skuter tersebut dan kerap juga Aafiyah bermain tetapi hari itu memang ditakdirkan dia terjatuh.
“Reaksi Datuk K apabila Aafiyah terjatuh skuter pada hari itu memang (buat) saya kena marahlah.
“Tetapi saya senyap sahaja sebab sedar (insiden) berlaku atas kesilapan saya juga,” katanya menerusi siaran langsung Instagram.
Sebelum kemalangan, penyanyi Bukan Cinta Biasa itu memberitahu, Datuk K sudah berpesan melarang anak-anaknya bermain setelah melihat anak kedua mereka Muhammad Afwa menaiki skuter berkenaan.
“Kebetulan dua hari sebelum itu Datuk K pesan supaya tidak beri Aafiyah dan adiknya main skuter selepas saya tunjuk video Afwa menaikinya.
“Datuk K larang saya bagi anak-anak main kerana tidak ada keselamatan, tidak pakai topi keledar dan pelindung lutut,” jelasnya lagi.
Akur dengan pesanan suami, Siti mendengar permintaan tersebut tetapi tidak menyimpan permainan berkenaan sehingga terjadinya kejadian yang mengakibatkan kecederaan pada dagu Aafiyah.
“Saya akur dengan permintaan Datuk K, tetapi tidak menyimpan permainan tersebut, sebaliknya hanya biarkan di situ.
“Tidak sangka petang itu ketika sedang bersiap-siap mengadakan persembahan, tiba-tiba terdengar raungan Aafiyah dengan kuat.
“Dalam hati saya sudah agak yang Aafiyah mesti terjatuh. Apabila turun tengok dagu dia mengalami luka yang dalam hingga perlu dijahit,” tutur ibu kepada dua cahaya mata itu.
Kejadian tersebut menyebabkan Siti terus membuang skuter tersebut yang dibeli buat anak-anaknya kerana risau akan berlaku perkara sama kepada Afwa.
“Selepas kejadian saya terus buang skuter tersebut kerana takut terjadi kepada Afwa pula,” ujarnya.
Minggu lalu, Aafiyah dikejarkan ke hospital selepas terjatuh ketika bermain skuter sehingga mengalami kecederaan pada tangan dan muka yang turut menerima beberapa jahitan pada bahagian dagu. -KOSMO! ONLINE