fbpx

Berhenti jadi pengotor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alam Flora meninjau keadaan sampah yang dibuang oleh penduduk setempat ketika operasi pembersihan Lorong Baba oleh pihak Alam Flora, Kuala Lumpur.
WARTAWAN EKSEKUTIF, SITI A’ISYAH SUKAIMI

Masih ingat lagi, sewaktu masih di sekolah rendah, isu sampah antara perkara yang sering menjadi topik ‘bebelan’ guru-guru hampir setiap hari.

Setiap kali perhimpunan mingguan pagi, guru besar akan menyentuh isu sama berkaitan sampah hinggakan adakala­nya terasa ‘bosan’ mendengar.

Masuk ke alam sekolah menengah, nasihat berkaitan sampah masih lagi berterusan setiap hari.

Perkara biasa yang didengar seperti, ‘buang sampah ke dalam tong sampah’, ‘jangan buang sampah merata-rata’ atau ‘kutip sampah jika terlihat sampah’.

Bukan hanya di dalam kelas, rutin sewaktu di sekolah rendah berulang lagi apabila perhimpunan mingguan di sekolah mene­ngah turut menyentuh isu sama.

Masuk ke alam universiti biarpun tiada perhimpunan mingguan, hal berkaitan sampah masih menjadi perkara utama. Begitu juga apabila berada di luar termasuk tempat-tempat awam.

Lihatlah papan tanda arahan dan peraturan berkaitan pembuangan sampah yang sering terdapat di mana-mana. Se­dangkan isu sampah itu berkaitan ke­sedaran sivik masing-masing, semua orang boleh fikir sendiri.

Sepatutnya meningkat usia dewasa, nasihat berkaitan sampah ini sudah sebati di dalam diri, namun masih lagi gagal mematuhi peraturan dengan membuangnya sesuka hati.

Acap kali penulis terlihat segelintir pemandu atau penumpang seolah-olah tiada perasan membuang sampah dari tingkap kenderaan sekali gus dibiarkan di atas jalan.

Tidak kira jenama kenderaan, ada sahaja pelaku-pelaku yang tiada ‘common sense’ ini. Tidak mahu di dalam kereta kotor de­ngan sampah, tetapi boleh pula tidak peduli mengotorkan jalan awam.

Menyentuh mengenai sikap tersebut, Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia), Yusaimi Md. Yusof mengakui bukan mudah mendidik masyarakat menjaga alam sekitar dengan tidak membuang sampah merata-rata.

Justeru, beliau mencadangkan supaya pelbagai pendekatan dijalankan kerana tanpa perubahan minda dan dalaman seseorang, sukar untuk mendidik sikap masyarakat.

“Sebab itulah kami sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) cuba mendidik masyarakat menjaga alam sekitar dengan elemen agama.

“Contohnya buang sampah merata-rata itu satu dosa se­dangkan kebersihan itu sebahagian daripada iman.

“Kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada perundangan dan pendidikan biasa,” katanya.

Beliau berkata, menjadi masalah apabila penjagaan alam sekitar dengan membuang sampah di tempat sepatutnya dipatuhi hanya di sekolah semata-mata.

“Masyarakat di luar termasuk ibu bapa sendiri buang sampah merata-rata, jadi budak-budak sekolah ini merasakan buang masa saja (ikut peraturan). Sebab itulah pendekatan kita harus berbeza dalam mendidik masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Yusaimi berkata, kempen juga perlu dibuat secara berterusan, bahkan pe­mimpin sendiri boleh menunjukkan teladan seperti turun ke pekan mengutip sampah yang dibuang merata-rata.

“Usaha ini kena bermula daripada pemimpin yang kemudiannya, mungkin kita boleh ‘guna’ anak-anak sekolah untuk menjalankan aktiviti mengutip sampah di pekan.

“Dengan ini ibu bapa juga rasa bersalah kerana mereka buang sampah, anak-anak pula yang kena kutip,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI