ANKARA, Turkiye – Seorang lelaki Azerbaijan berusia 33 tahun tular di media sosial kerana memandu sebuah kereta usang yang sarat membawa bantuan untuk mangsa gempa bumi di Turkiye, lapor portal berita Anadolu Agency semalam.
Lelaki tersebut, Sarvar Bashirli berkata, dia berasa perlu membantu mangsa gempa bumi tersebut yang dianggapnya sebagai saudaranya sendiri.
“Kami duduk bersama-sama iaitu saya dan sepupu saya pada hari gempa bumi berlaku di Turkiye (Isnin) dan memutuskan untuk membantu negara saudara kami ini,” kata Bashirli.
Menurutnya, keadaan ekonomi mereka teruk kerana terpaksa menjadi pelarian di tanah air sendiri di wilayah Karabakh, Azerbaijan.
Keesokan paginya, dia berkata, mereka menemui saudara-maranya yang juga pelarian dari Lachin iaitu wilayah di Azerbaijan tetapi berada di bawah penaklukan Armenia selama hampir tiga dekad.
Pertemuan itu diadakan dengan tujuan untuk mengumpulkan apa sahaja yang ada sebagai bantuan gempa bumi yang akan dihantar untuk penduduk Turkiye.
Sebelum ini, berlaku konflik Nagorno-Karabakh melibatkan etnik dan wilayah antara Armenia dan Azerbaijan sehingga menyebabkan perang berlaku antara kedua-dua negara tersebut.
Memandu kereta lama buatan 1981 miliknya yang sarat dengan barang seperti tilam di atas bumbung dan pelbagai bungkusan serta kotak diletakkan di dalam bonet yang tidak bertutup, Bashirli menghantar semua barangan itu ke pusat khas bagi mengumpulkan bantuan mangsa gempa bumi tersebut di ibu negara Azerbaijan, Baku.
“Kami menganggapnya sebagai kewajipan kami untuk menyokong rakyat Turkiye. Kami (Azerbaijan dan Turkiye) adalah dua negara tetapi satu bangsa. Kami melakukan apa yang perlu dilakukan. Kami melakukannya dan akan terus berbuat demikian,” katanya. – Agensi