SEBERANG PERAI – Salah seorang mangsa yang terkorban dalam tragedi van persiaran yang terbabas ketika menuruni Genting Highlands, di Pahang Rabu lalu, Chew Chong Beh, 73, sebelum itu dikatakan sempat berhubung dengan anaknya melalui aplikasi Wechat.
Anak keduanya, Ong Seow Hooi, 43, berkata, dia tidak menyangka mesej ibunya itu merupakan yang terakhir sebelum dia meninggalkan mereka adik-beradik buat selama-lamanya.
“Sebelum kejadian, saya ada menghubungi ibu melalui aplikasi Wechat dan dia mengatakan mungkin akan sampai (Pulau Pinang) lewat. Itulah kali terakhir kami berhubung,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Jambu, Bukit Mertajam di sini hari ini.
Beritahu Seow Hooi,sebelum kejadian, ibunya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda yang luar biasa atau pelik sebelum bercuti ke Genting Highlands.
“Tiada yang pelik. Namun, kehilangannya amat dirasai kerana ibu merupakan seorang yang mesra dan ceria dalam kalangan keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan.
“Semasa hayat ibu, dia seorang yang gemar bersiar-siar sambil berbasikal hampir setiap pagi di kawasan sekitar Machang Bubok dan Kampung Bukit Teh. Ibu juga disifatkan sebagai orang yang mudah didekati.
“Selain itu, ibu suka minum kopi dengan kawan-kawan dan gemar beli nasi lemak dari kenalan Melayu. Sememangnya berita kematiannya amat mengejutkan kami sekeluarga serta rakan-rakan terdekat,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, dia juga tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat keadaan mendiang ibunya dengan terdapat banyak kesan calar pada badan semasa melakukan proses pengecaman di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.
Mayat Chong Beh akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cina Machang Bubok, Bukit Mertajam dalam masa terdekat.
Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow turut menziarahi keluarga mendiang Chong Beh di samping turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM2,000. -KOSMO! ONLINE.