PETALING JAYA – Lebih 280 pemilik motosikal jenis Ducati Panigale berkumpul di perhimpunan terbesar Panigale 2023 yang dianjurkan oleh Panigale Kingdom di Zenith Hotel, Kuantan hari ini.
Menurut jawatankuasa penganjur, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, acara tersebut merupakan pembuka tirai bagi tahun dan ia turut disertai oleh penunggang ujian MotoGP Ducati, Michele Pio Pirro.
Jelasnya, sebelum berlepas ke Kuantan, peserta konvoi bersama Pirro telah berhimpun di Madani Bikes, Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Pahang.
“Panigale Kingdom amat bertuah dengan kehadiran Michele Pio Pirro dan kesudian beliau untuk sama-sama menunggang bersama kami ke Kuantan. Bukan mudah untuk mana-mana kelab motosikal mendapat pengalaman sebegini.
“Acara hari ini merupakan permulaan yang baik bagi kelab kami dan akan ada pelbagai lagi acara menarik yang telah kami susun sepanjang tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nazir Hussin berkata, program terbabit turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman. – KOSMO! ONLINE