fbpx

Trauma dengar suara kanak-kanak menangis setiap kali gegaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beginilah keadaan runtuhan bangunan di lokasi selepas kejadian gempa bumi di Nurdagi, Gazientep, Turkiye.

PETALING JAYA – “Jeritan dan tangisan kanak-kanak meme­nuhi ruang masjid setiap kali berlakunya gegaran dan masih terngiang-ngiang di telinga saya.”

Demikian pengalaman yang dikongsi rakyat Malaysia, Zahirul Amin Mohamad, 21, pelajar Universiti Gaziantep yang juga mang­sa gempa bumi di Turkiye, Isnin lalu.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku pukul 4.17 pagi ketika dia sedang menonton televisyen di tingkat lima asramanya yang terletak di Gaziantep.

“Kejadian berlaku secara tiba-tiba yang bermula daripada gegaran perlahan bertukar kepada gegaran luar biasa. Bilik saya seperti digoncang.

“Penghuni yang panik segera keluar dari bangunan. Saya dan rakan keluar sehelai sepinggang membawa telefon bimbit.

“Sebaik turun, saya ternampak asrama mula merekah dan tidak lagi selamat untuk diduduki,” katanya ketika dihubungi Kos­mo! di sini semalam.

Zahirul berkata, deretan bangunan mulai kosong dan dianggarkan lebih 200 penghuni mula memenuhi atas jalan. Ada yang memandu ke daerah selamat.

“Suasana ketika itu sama se­perti di dalam filem. Disebabkan hujan dan cuaca sejuk, kami bergerak untuk memanaskan badan sebelum dimaklumkan rakan untuk berteduh di masjid.

“Setibanya di sana, saya dengar jeritan dan tangisan budak yang tidak henti setiap kali berlakunya gegaran. Keadaan itu membuatkan saya trauma,” ujarnya.

Zahirul yang kini berada di bawah jagaan Kedutaan Besar Malaysia di Ankara berkata, tiada apa yang mampu diungkapkan selain reda.

“Setahun berada di sini, gegaran kali ini paling memberi kesan. Saya sedih mendengar panggilan telefon warga Turki yang mendapat tahu saudara mereka terpe­rangkap di dalam bangunan.

“Saya sempat membuat panggilan telefon kepada keluarga. Mereka beritahu kejadian ini mendapat liputan meluas, waktu itu baru saya sedar bencana alam ini serius,” ujarnya.

Zahirul bersama rakannya yang terselamat masih di dalam cuti semester sehingga 20 Feb­ruari ini akan bertindak mengikut arahan yang dikeluarkan tempat pengajiannya.

“Jika diberikan peluang untuk menyambung pengajian secara dalam talian, kami mungkin akan pulang ke Malaysia, namun jika diteruskan secara bersemuka kami akan tunggu kemungkinan penempatan baharu yang akan diberikan,” katanya.

Terdahulu, angka kematian yang direkodkan akibat gempa bumi yang melanda selatan ­Turkiye semalam meningkat kepada lebih 16,000 orang, manakala beribu-ribu mangsa cedera.

Gegaran pada magnitud awal 7.8, berpusat 33 kilometer dari Gaziantep meruntuhkan ribuan bangunan ketika orang ramai ­sedang tidur pada pukul 4.17 pagi (waktu tempatan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI