fbpx

THT pertahan gelaran Piala Sumbangsih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain dan kejurulatihan THT meraikan kejayaan muncul juara Piala Sumbangsih selepas menewaskan TNB 4-3 di Stadium Hoki Nasional, sebentar tadi. - MHC

KUALA LUMPUR – Pasukan Hoki Terengganu (THT) membuktikan status mereka sebagai pilihan utama saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 selepas berjaya merangkul trofi Piala Sumbangsih musim ini.

Kejayaan itu hadir menerusi kemenangan dramatik 4-3 ke atas pencabar utama musim ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Dalam aksi itu, TNB membuka tirai jaringan pada minit ke-13 melalui Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal sebelum Mohd. Fitri Saari menyamakan kedudukan buat THT tujuh minit kemudian menerusi pukulan reverse menarik.

TNB yang dikendalikan oleh Nor Saiful Zaini Nasiruddin sekali lagi mendahului menerusi Syed Mohamad Syafiq Cholan selepas menyudahkan pukulan sudut penalti pada awal suku ketiga.

Kedudukan tersebut tidak bertahan lama apabila THT bangkit meledak dua gol selepas itu untuk mendahului perlawanan 3-2 menerusi penyudah bintang import dari Korea Selatan, Jang Jong-hyun dan Shello Silverius.

Bagaimanapun, perlawanan terpaksa ditangguhkan buat seketika pada awal suku masa keempat disebabkan hujan lebat.

TNB kemudiannya memanfaatkan kelebihan menentang THT yang beraksi kurang tiga pemain disebabkan layangan kad, dengan gol penyamaan menerusi Muhammad Amirul Amizan Azhar selepas perlawanan kembali bersambung pada minit ke-49.

Keputusan THT mengambil sentuhan Korea Selatan termasuk jurulatih, Seo Jongho membuahkan hasil apabila Jong-hyun muncul wira gergasi Pantai Timur itu dengan gol kemenangan pada minit ke-58.

Kejayaan itu membolehkan THT mempertahankan gelaran Piala Sumbangsih yang dimenangi tahun lalu dan membuka kempen musim ini dengan tiga mata pertama.

Tiga lagi perlawanan MHL 2023 yang berlangsung hari ini menyaksikan Maybank berpesta jaringan membelasah TNB Thunderbolts 10-0, Young Tigers menewaskan ATM 2-0 dan Nurinsafi Sporting tewas 2-6 kepada UiTM HA-KPT.

Bagi kategori wanita, gelaran Piala Sumbangsih menjadi milik Negeri Sembilan selepas menewaskan KPT-Uniten Thunder 2-1 menerusi penalti shoot-out setelat terikat 1-1 dalam tempoh 60 minit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI