PETALING JAYA – Penerbit juga oengarah popular, Michael Ang akan mewajibkan pelakon yang terbabit dalam produksi terbitannya menandatangani kontrak perjanjian tidak boleh menjalin hubungan cinta di set penggambaran.
Katanya, syarat tersebut harus digunapakai selepas isu cinta lokasi semakin hangat diperkatakan media, selain membuang skeptikal mengaitkan sensasi berkenaan sebagai gimik publisiti.
“Okey, mulai hari ini (semalam), siapa-siapa pelakon lelaki atau perempuan dalam set saya kena tanda tangan kontrak yang mereka takkan bercinta kat set.
“Stress nak melayan panggilan media, lepas itu ada yang cakap nak buat pemasaran la, apa la. Yang bercinta dan berskandal itu mereka, bukan aku!
“Stress! Tutup sekejaplah hari ini. Suruh berlakon bukan bercinta!,” tulisnya menerusi hantaran Instagram.
Michael berharap penerbit mahupun pengarah tidak harus dipersalahkan jika pelakon menjalin cinta dalam sesebuah produksi.
Akui pengarah Perempuan Tanpa Dosa itu, tugas seseorang sutradara adalah mengajar pelakon beraksi dengan baik, menyuruh mereka membawa emosi sama sehingga ke dunia realiti.
“Bukan salah saya kalau pelakon bercinta di set penggambaran. Saya hanya ajar berlakon, bukan suruh buat betul-betul,” katanya.
Meninjau ruangan komen, bukan hanya peminat, ramai selebriti turut memberikan maklum balas berhubung kontrak dinyatakan yang dianggap relevan bersandarkan situasi semasa.
Tidak kurang juga ada yang mengusik pengarah berusia 47 tahun itu supaya memanggil mereka berlakon kerana tidak pernah terpalit dengan isu sebegitu.
Begitupun, rata-rata mengatakan cinta lokasi tidak salah jika kedua-dua aktres dan aktor masih solo, bukan berstatus suami atau isteri orang
“Nasib baik tak pernah bercinta kat set Mike Tyson (Michael Ang),” kata pelakon, Meerqeen.
“Aku tak pernah bercinta kat set kau Mike. Lepas ini panggil aku,” tambah aktor, Syazwan Zulkifly.
“Kalau macam Kamal Adli dan Uqasha tak mengapa dua-dua ‘single’, kalau suami atau isteri orang memang bala,” kata seorang warganet. – KOSMO! ONLINE