PEKAN – Meskipun semua mangsa banjir di daerah ini dibenarkan kembali semula ke rumah sejak kelmarin selepas air kembali surut, namun murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, di sini masih tidak dapat meneruskan sesi persekolahan kerana air di kawasan sekolah itu belum surut.
Sekolah yang terletak di kawasan rendah berhampiran Sungai Pahang yang dinaiki air sejak Selasa lalu itu kini masih dilimpahi air yang melimpah dari Sungai Pahang sedalam kira-kira 0.9 meter.
Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd. Razali Mustafar berkata, atas faktor keselamatan sesi persekolahan yang melibatkan kira-kira 141 orang murid di sekolah itu ditangguhkan sejak Selasa lalu.
“Bagaimanapun bagi memastikan murid-murid tidak ketinggalan, saya meminta murid-murid belajar di rumah melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Kita masih melakukan pemantauan dan sekiranya air kembali surut sesi pembelajaran di sekolah seperti biasa akan dilaksanakan semula,” katanya di sini hari ini.
Menurut Razali, kedudukan sekolah berkenaan yang terletak di kawasan rendah menyebabkan ia sering dinaiki air setiap kali musim tengkujuh dan apabila air sungai melimpah.
Katanya, kawasan berkenaan yang rendah juga menyebabkan air sering bertakung selepas hujan sehingga ada kalanya terpaksa dipam.
“Berdasarkan maklumat pagi tadi air sungai naik dan air masih lagi tidak surut tetapi masih masuk ke kawasan sekolah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE