PETALING JAYA – Menyasarkan kenderaan lama untuk dicuri, sindiket didalangi seorang lelaki tempatan bersama dua individu lagi diberkas dalam serbuan berasingan di Kuala Lumpur serta Puchong Jaya pada 3 dan 4 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada individu yang memaklumkan lori milik sebuah syarikat hilang di Mutiara Damansara, di sini, pada pukul 4 petang pada 3 Februari lalu.
Katanya, hasil semakan terhadap pengesan kedudukan global (GPS) pada kenderaan dicuri itu, kedudukan lori berkenaan dikesan berada di Pulau Pinang.
“Bertindak atas maklumat, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 27 dan 28 tahun ditahan dalam serbuan di Hentian Duta, Kuala Lumpur pada pukul 9.30 malam pada 3 Februari lalu.
“Dalam serbuan itu, kami menemui sebuah Proton Wira dan sebuah van yang dilaporkan hilang di daerah ini pada Januari lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.
Menurut Fakhrudin, hasil soal siasat dilakukan mendapati kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kejadian curi kenderaan itu bersama seorang lagi lelaki.
Katanya, seorang lagi lelaki tempatan berusia 36 tahun itu ditahan dalam serbuan di Puchong Jaya pada pukul 6.30 petang pada 4 Februari lalu.
“Modus operandi sindiket ini menyasarkan kenderaan model lama yang diserahkan kepada orang tengah untuk dileraikan bagi mendapatkan komponen yang dijual sebagai alat ganti.
“Kami percaya sindiket itu aktif melakukan kegiatan ini sejak Disember tahun lalu,” katanya.
Jelas Fakhrudin, penahanan ketiga-tiga suspek berkenaan berjaya menyelesaikan empat kes curi kenderaan yang dilaporkan di daerah ini.
“Semua suspek terbabit direman sehingga semalam mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
“Ketiga-tiga suspek kemudian diserahkan kepada IPD Shah Alam untuk siasatan kes curi kenderaan di daerah itu,” katanya. -KOSMO! ONLINE