fbpx

Serina Redzuawan hilang hak jagaan kekal anak kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Serina bersama dua anaknya Tristan (kiri) dan Isabella.

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam memerintahkan hak penjagaan kekal anak kedua pelakon Serina Redzuawan, Isabella Saffiya O’luanaigh diberikan kepada bekas suaminya, Gavin Edward O’luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar.

Peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Gavin, 46, ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini berkata, mahkamah memutuskan demikian selepas menemu bual Isabella, 12, pada prosiding yang berlangsung di hadapan Hakim Syarie Zalinah Ahmad.

“Mahkamah membuat keputusan setelah menemu ramah Isabella tentang pilihannya selama hampir 30 minit selain turut mendengar keterangan Gavin serta hujahan pihak kami,” kata peguam syarie itu.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, meskipun mahkamah sebelum ini memberikan hak penjagaan kekal Isabella kepada Serina dan seorang lagi anak mereka, Tristan Tareef O’luanaigh,13, kepada Gavin, tetapi Serina tidak pernah mengambil Isabella tinggal bersamanya sehingga hari ini.

Katanya, semasa prosiding, Gavin turut memaklumkan kepada mahkamah dia percaya Serina kini tinggal di Perlis setelah berkahwin lain.

“Berdasarkan keputusan hari ini, hak penjagaan Tristan dan Isabella kini diberikan kepada Gavin. Serina diberikan hak lawatan dua minggu sekali,” ujarnya.

Bagaimanapun semasa prosiding berlangsung semalam, Serina, 39, tidak hadir ke mahkamah walaupun saman telah diserahkan kepadanya.

Sementara itu, ditanya perasaan Gavin berhubung keputusan tersebut, Zainul Rijal memaklumkam anak guamnya bersyukur kerana anak-anaknya tidak lagi berisiko dan dipisahkan tempat tinggal mereka.

Berdasarkan dokumen tuntutan yang difailkan pada 9 Februari tahun lalu, antara alasan Gavin menuntut hak penjagaan kekal terhadap Isabella adalah disebabkan Serina berkahwin lain selain kerap berpindah tempat tinggal.

Gavin juga turut menyatakan, bekas isterinya didapati berpindah ke Arau, Perlis sekali gus menyukarkan wanita berkenaan untuk menjalankan tanggungjawabnya memelihara kebajikan serta keselamatan Isabella.

Pada 26 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memutuskan Serina mendapat hak penjagaan kekal terhadap Isabella sementara Gavin mendapat hak penjagaan kekal ke atas Tristan.

Mahkamah ketika itu membuat keputusan tersebut selepas meneliti fakta dan berpuas hati dengan permohonan yang dikemukakan Serina selaku pemohon untuk mengubah perintah hadanah (hak penjagaan anak) kekal.

Serina memfailkan permohonan untuk mengubah perintah hadanah kekal pada 26 Februari 2018 atas alasan antaranya Gavin yang juga warga Britain tidak mengamalkan hidup secara Islam dan bimbang anak-anaknya akan murtad.

Pada masa sama Serina juga khuatir anak-anaknya akan dibawa keluar dari Malaysia memandangkan keluarga bekas suaminya itu berada di London.

Sebelum ini, Serina memberikan hak penjagaan kekal dua anak mereka kepada Gavin melalui satu penghakiman persetujuan berdasarkan beberapa syarat dan terma lawatan yang telah dipersetujui bersama.

Serina dan Gavin berkahwin pada 1 Januari 2010, namun bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan Tristan dan Isabella. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI